Wednesday, May 16, 2007

Hari Ibu: Kasih ibu membawa ke syurga

Sambutan Hari Ibu akan muncul lagi hujung minggu ini. Ia sebenarnya diperkenalkan oleh masyarakat Barat bersempena dengan hari-hari tertentu, sambutan seperti hari ibu itu diperkenalkan oleh mereka kerana meletakkan penghormatan kepada ibu-ibu mereka apabila keadaan terdesak dan ia dilakukan bagi menutup banyak kelemahan.
Sebenarnya, kita wajib menghormati dan meraikan ibu bukannya pada hari yang ditentukan seperti Hari Ibu, malah ia wajar diraikan setiap masa dan tidak perlu menunggu hari tertentu. Namun, kadang-kala ada yang terlupa untuk berbuat demikian kerana atas sebab-sebab tertentu dan mungkin juga sibuk dengan tugas harian.

Dengan adanya Hari Ibu, mungkin lebih ramai lagi yang akan terus mengingati ibu mereka, walaupun Islam tidak melarangnya, namun ia perlu dihormati sepanjang masa.
Apa pun, kasih ibu kepada anak sepanjang masa. Sejak dalam kandungan, ibu menanggung segala kesakitan dengan penuh sabar.

Begitu juga selepas dilahirkan, ibu mengasuh dan menjaga dengan penuh kasih sayang. Jika sakit, ibu tidak lelap tidur. Mereka berkorban apa saja untuk kita.

Kasih ibu sejati tiada bandingan dan boleh dinilai dengan harta benda atau wang ringgit.

Para ibu sanggup bersengkang mata untuk menjaga anaknya ramai, tetapi keadaan ini tidak sama dengan anak-anak di zaman moden ini yang tidak sanggup menjaga ibu mereka yang seorang itu sehinggakan ada yang dihantar ke rumah-rumah kebajikan orang-orang tua dan sebagainya dan inilah yang dilarang oleh Islam.

Ibu kerap juga dilabelkan sebagai peleter, 'radio buruk' atau 'rekod rosak' oleh anak apabila melarang mereka melakukan perbuatan tidak berfaedah.

Melarang anak dianggap menyekat kebebasan, tidak memahami, tidak ‘sporting’, kolot dan sebagainya.

Sering bertanya apa anak buat atau ke mana mereka pergi disalahtafsirkan sebagai ‘menyibuk’. Nasihat mulia mereka disamakan dengan ‘mengongkong’ dan melarang dianggap ‘membenci’.
Ibu digambarkan sebagai 'control freaks', gila kuasa, terlalu mengawal, sering masuk campur urusan anak, menekan dan menindas.

Pada hal niat ibu itu cuma untuk memberitahu anak bahawa dia mengambil berat terhadap mereka dan risau jika ada perkara yang buruk menimpa mereka.

Bagaimanakah pula ibu popular yang disukai anak seperti yang digambarkan dalam program televisyen atau filem?

Kasih dan sayangnya ibu terhadap anak sukar digambarkan kerana perasaan ini adalah kurniaan Allah kepada seorang wanita yang bergelar ibu.

Keperitan dan kesusahan yang dirasai oleh ibu ketika mengandung dan membesarkan anak juga tidak dapat dibayangkan sehingga seseorang itu sendiri menjadi ibu.

Oleh itu, penghormatan terhadap ibu perlu diutamakan berbanding hak kepada seorang bapa.
Perkara ini berasaskan hadis sahih yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang mafhumnya: Ada seorang lelaki datang bertemu Rasulullah s.a.w., lalu bertanya: Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling berhak untuk aku hormati?

Baginda menjawab: Ibumu.

Lelaki itu kembali bertanya : Kemudian siapa?

Nabi menjawab: Ibumu.

Lelaki itu terus bertanya : Kemudian siapa?

Nabi menjawab lagi : Ibumu.

Sekali lagi lelaki itu bertanya: Kemudian siapa lagi?

Nabi menjawab pula: Kemudian bapamu.

Begitulah kedudukan seorang ibu pada pandangan Rasulullah. Betapa mulianya seorang ibu hinggakan Nabi Muhammad meletakkannya sebagai pihak ketiga yang perlu dihormati selepas Allah dan Baginda.

Kita juga pernah mendengar kata-kata, syurga itu di bawah telapak kaki ibu. Begitu pentingnya kita menghormati ibu bagi mendapat keredaan Allah.

Islam menentang keras penganutnya menyergah atau menyakiti ibu sendiri, sekalipun dengan perkataan ah! Apa lagi, sekiranya seorang ibu itu dimaki-hamun atau disisihkan oleh anaknya sendiri.

Allah berjanji bahawa setiap orang yang melakukan penderhakaan akan diberi pembalasan setimpal dengan perbuatan mereka sama ada di dunia atau akhirat.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: Tiga manusia tidak akan masuk syurga, iaitu orang yang menderhakai kedua-dua ibu bapanya, lelaki yang tidak menjaga maruah keluarganya (dayus) dan perempuan yang menyerupai lelaki. (Riwayat Nasa'i, Bazzar dan al-Hakim).

Al-Hakim juga meriwayatkan hadis Baginda yang bermaksud : Semua dosa akan ditangguhkan Allah, yakni balasan menurut kehendak-Nya, hingga ke hari kiamat, kecuali balasan menderhaka kepada kedua ibu bapa. Maka sesungguhnya Allah menyegerakan balasan kepada pelakunya pada masa hidupnya sebelum mati.

Dua kisah berikut cukup untuk mengingatkan kita supaya menghormati, menyayangi dan melebihkan ibu. Ia patut dijadikan iktibar supaya tidak sekali-kali menderhakai ibu.

l- Kisah yang berlaku kepada ahli ibadat daripada keturunan Bani Israel bernama Juraij.

Beliau berhadapan dengan fitnah besar hanya kerana mementingkan sembahyang sunat daripada menyahut panggilan ibunya.

Akhirnya, beliau difitnah oleh seorang pelacur yang mendakwa mereka ada hubungan sulit hingga melahirkan anak. Mujurlah dengan kekuasaan Allah, bayi itu boleh bercakap dan menceritakan siapakah bapanya yang sebenar.

2- Kisah Alqamah yang berlaku pada zaman Rasulullah juga perlu diinsafi kita supaya tidak menjadi anak derhaka.

Hanya kerana anaknya melebihkan isteri daripada dirinya, ibu Alqamah tidak mahu memaafkan anaknya hingga tertahan ketika sakratul maut.

Rasulullah kemudian menyatakan sekiranya si ibu tidak mahu memaafkan anaknya yang sedang nazak itu, maka anak itu akan dibakar hidup-hidup.

Membayangkan kesengsaraan anaknya yang akan dibakar hidup-hidup, hati si ibu menjadi luluh dan cair. Seterusnya, memaafkan dosa dan kesalahan anaknya.

Akhirnya, Alqamah meninggal dunia dengan mendapat kemaafan ibunya dan mati dalam husnu al-khatimah.

Seseorang anak juga sewajarnya memahami tabii kehidupan manusia iaitu ibu bapa mereka akan tiba ke peringkat usia tua, tiada kekuatan, semakin lemah, memerlukan penjagaan dan mudah tersinggung.

Kesedaran ini boleh dijadikan garis panduan untuk menjaga dan memberi layanan lebih mesra kepada ibu bapa seperti belaian kasih mereka kepada anak-anak ketika kecil.
Islam turut menentang keras warga tua dijadikan mangsa maki-hamun. Dalam aspek ini, penghormatan tidak saja ditekankan kepada ibu bapa tetapi mereka yang lebih muda perlu juga menghormati golongan yang lebih tua.

Bukhari dan Muslim meriwayatkan, dalam sebuah hadis, Rasulullah bersabda, yang bermaksud :Sesungguhnya sebesar-besar dosa, apabila seorang lelaki mengutuk ibu bapanya. Ramai orang berasa takjub bagaimana seorang yang cukup akalnya, beriman kepada Allah boleh mengutuk ibu bapanya, padahal merekalah yang menyempurnakan kehidupan anak.

Lantas Baginda ditanya : Bagaimana seorang itu mengutuk ibu bapanya?

Jawab baginda : Apabila orang itu memaki-maki ayah orang lain, lalu orang lain itu membalas maki ayahnya. Kemudian dia memaki-maki ibu orang lain, lalu orang lain itu membalas maki ibunya!

Nabi Muhammad pernah bersabda bermaksud: Sesiapa ketika paginya mendapat keredaan ibu bapa, nescaya dibukakan baginya semua pintu syurga. Sebaliknya, jika ketika pagi lagi sudah menyakiti hati ibu bapa, nescaya akan dimasukkan ke dalam neraka.

Ibu bapa orang yang wajib kita hormati dan taati. Perintah mentaati kedua-duanya jelas termaktub dalam al-Quran dan hadis. Buatlah apa yang disuruh asalkan suruhan itu tidak menjurus kepada sesuatu yang mungkar.

Mengecilkan hati, melawan atau mengherdik orang tua dianggap sebagai derhaka. Menderhaka kepada ibu bapa dosa besar dan tidak akan mencium bau syurga, meskipun banyak beribadat Allah.

Allah tidak menerima ibadat orang yang derhaka kepada ibu bapa. Dalam satu hadis, Nabi Muhammad ada bersabda, keredaan Allah bergantung kepada keredaan kedua-dua ibu bapa. Ini bermakna jika ibu bapa suka kepada kita, Allah turut meredai kita. Sebaliknya, jika mereka marah dan berkecil hati kepada kita, Allah turut memurkai kita.

Diriwayatkan, pernah seorang sahabat mengadu kepada Rasulullah mengenai perangai ibunya yang suka meminta-minta kepadanya.

Baginda marah dan menempelak sahabat itu dengan mengatakan bahawa bukan saja dalam harta, malahan dalam dirinya sendiri ada hak ibu bapanya.

Kita sebenarnya tidak berdaya membalas jasa ibu dan bapa. Hakikat ini perlulah kita insafi. Jika mereka tidak wujud di dunia, kita juga tidak akan lahir di dunia ini. Oleh itu, kita digalakkan mendoakan mereka setiap kali selepas solat.

Jika mereka masih hidup, layanlah mereka dengan sebaik mungkin.

Tetapi jika sudah meninggal dunia, selalulah menziarahi tanah perkuburan di samping mendoakan kesejahteraannya.

Buatlah sebarang kebajikan seperti sedekah dan niatkan pahala untuk arwah ibu dan bapa. Mereka akan menerima pahala itu.

Ingatlah pesanan Rasulullah : Khabarkan berita gembira ini kepada mereka yang berbuat baik kepada ibu bapa: Buatlah apa saja bahawasanya Allah mengampuni mereka.

Dan khabarkan berita buruk kepada mereka yang menderhakai ibu bapa, buatlah seberapa banyak ibadat yang disukai, bahawasanya Allah tidak akan memberikan keampunan sedikitpun kepadanya.

Marilah kita merenung sepotong ayat ayat al-Quran menerusi ayat 14 surah Luqman : “Dan Kami mewasiatkan (memerintahkan) kepada manusia itu supaya berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya mengandungnya dengan menderita kelemahan demi kelemahan, dan cerai-susukannya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibu bapamu ! kepadaKu tempat kembali”. (Lukman:14).

Sesungguhnya binasalah mereka yang mempunyai ibu bapa yang sudah lanjut usianya, sedangkan mereka tidak dapat berbakti kepada keduanya lalu perkara tersebut menjadi ujian kepada anak-anak tadi yang menyebabkan mereka terhalang daripada mencium Syurga Allah.

Ingatlah firman Allah ini : Ertinya: “Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain daripadaNya dan kepada kedua ibu bapa hendaklah berbuat baik. Dan kalau salah seorang diantara keduanya telah mencapai usia tuan, maka janganlah engkau mengatakan kepada keduanya ‘cis’ dan janganlah engkau menengking keduanya, tetapi hendaklah engkau berkata kepada keduanya dengan perkataan yang hormat. Dan turunkanlah sayap merendahkan diri terhadap keduanyadengan belas kasihan dan katakanlah: Tuhanku, kasihanilah kiranya keduanya, sebagaimana keduanya telah membelaku dengan penuh kasih saying semasa aku kecil.” (Al-Isra’: 23-24).

Sebenarnya kita tidak berdaya membalas jasa ibu dan bapa. Hakikat ini perlulah kita insafi.

Oleh sebab itu, untuk membalas jasa mereka, kita digalakkan mendoakan mereka setiap kali selepas solat samaada mereka masih hidup atau telah meninggal dunia.

Jika mereka masih hidup, layanilah mereka dengan sebaik-baik mungkin. Fahamilah hakikat bahawa, setiap kita adalah anak dan setiap kita juga dalam masa yang sama sebagai seorang ayah.

Sebagaimana kita mahukan anak-anak kita berbakti kepada orang tuanya, begitulah halnya dengan kemahuan kedua orang tua kita.

Rebutlah peluang menjaga dan memelihara mereka khususnya semasa mereka telah lanjut usia. Janganlah biarkan hati mereka tertutup untuk tinggal atau singgah dirumah kita disebabkan layanan yang kurang menarik terhadap mereka.

Akhir sekali kepada ibu, semoga kasih sayang yang diberi membawa anak ke syurga, kerana syurga adalah tempat idaman yang diidam-idamkan oleh seluruh mereka yang bergelar.
Kepada anak pula, kasihlah ibu tanpa berbelah bagi, kerana kasih sayang terhadap ibu itu dan sebaliknya akan membawa anda ke syurga. Amin.