Saturday, August 18, 2007

Jihad Seorang Wanita

Apabila disebut perkataan 'jihad', apakah yang terlintas di dalam fikiran kita? Serta-merta tergambar kesungguhan berkorban yang akan menimbulkan semangat berjuang hingga ke titisan darah yang terakhir! Semangat ini memang baik dan perlu dipupuk bertepatan dengan ketetapan Islam serta kehendak Allah SWT.

Hakikat Jihad

Definisi jihad menurut syara' ialah seorang muslim menyerahkan tenaganya untuk mempertahan dan menyebarkan Islam bagi mencapai keredaaan Allah. Dari sini nanti akan terbentuk sebuah masyarakat Islam dan seterusnya akan terbina negara Islam yang sihat. Jihad mesti berterusan hingga ke hari qiamat. Martabat jihad yang paling rendah ialah jihad di dalam hati dan yang paling tinggi ialah berperang di atas jalan Allah. Mengorbankan waktu, harta dan kepentingan diri sendiri demi kebaikan Islam serta ummatnya juga dikira sebagai jihad. Begitu juga dengan menyeru kearah kebaikan dan mencegah kemungkaran serta memperjelaskan hakikat keEsaaan Allah juga merupakan sebahagian daripada jihad.

Bagimanakah kedudukan wanita dalam jihad?
Jawapan kepada persoalan ini mesti benar-benar difahami supaya sumbangan kita dalam jihad akan menguntungkan Islam. Oleh itu, kita perlu menyingkap kembali lembaran sejarah Rasulullah SAW untuk mengambil iktibar tentang persoalan jihad bagi kaum wanita.
Diriwayatkan oleh Al-Bazzar dan Ath-Thabrani, pada suatu hari seorang wanita bernama Zainab yang bergelar Khatibatin-nisa' (wanita yang pintar berpidato) datang menemui Rasulullah SAW lalu berkata: "Aku telah diutus oleh kaum wanita kepada engkau. Jihad yang diwajibkan oleh Allah ke atas kaum lelaki itu, jika mereka luka parah, mereka mendapat pahala. Dan jika mereka gugur pula, mereka hidup disisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki. Manakala kami kaum wanita, sering membantu mereka. Maka apakah pula balasan kami untuk semua itu?"

Bersabda Rasulullah SAW:
"Sampaikanlah kepada sesiapa yang engkau temui daripada kaum wanita, bahawasanya taat kepada suami serta mengakui haknya adalah menyamai pahala orang yang berjihad pada jalan Allah, tetapi adalah sangat sedikit sekali daripada golongan kamu yang dapat melakukan demikian."



Pada ketika yang lain, Rasulullah SAW pernah ditanya: "Wahai Rasulullah, perempuan manakah yang baik?"



Baginda menjawab: "Perempuan yang menggembirakan suaminya apabila sisuami memandangnya, mentaati suami apabila diperintah dan tidak menyalahi suaminya baik mengenai diri peribadinya, harta kekayaannya atau dengan apa yang dibenci oleh suaminya."
Pada dasarnya, kaum wanita disamakan dengan kaum lelaki dalam tanggungjawab agama sama ada mengenai aqidah, ibadah dan muamalah, kecuali tanggungjawab yang khusus yang sesuai dengan fitrah (nature) kaum wanita. Begitu juga dengan tanggungjawab jihad yang diwajibkan kepada kaum lelaki tidak diwajibkan kepada kaum wanita. Seandainya kaum wanita berupaya pergi bersama-sama kaum lelaki ke medan pertempuran, tidaklah ditolak oleh Islam. Bagaimanapun tugas ini hanya dianggap sebagai sumbangan tambahan.



Kita perlu jelas jihad yang paling utama dan dituntut kepada setiap wanita ialah taat kepada suami dan mengakui hak suami, manakala jihad di luar rumah adalah sumbangan tambahan bagi mereka yang berbuat demikian.



Bagaimanakah pendirian kita?



Kita mesti menyakini bahawa berjihad di barisan hadapan oleh kaum lelaki manakala jihad kaum wanita sebagai tulang belakang adalah ketetapan Allah SWT yang Maha Adil, semata-mata demi kemakmuran alam ini. Kita perlu memahami firman Allah yang bermaksud:
"Dan orang lelaki dan perempuan (yang beriman) sebahagian mereka (adalah) penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma'ruf dan mencegah yang mungkar." (At-Taubah : 71)



"Dan tidak sepatutnya bagi lelaki yang mukmin dan wanita yang mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menentukan sesuatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan sesiapa yang mendurhakai Allah dan Rasul-Nya maka sesungguh-nya dia telah sesat dengan kesesatan yang nyata." (Al-Ahzab : 36)



Sekarang sudah tiba masanya untuk kaum wanita menanamkan azam dan mengumpulkan kekuatan bagi menumpukan diri melaksanakan sepenuhnya jihad sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya.



Tingkat kekuatan yang utama ialah kekuatan iman. Iman yang kuat dapat mengekang hawa nafsu yang sentiasa mengganas serta melemahkan keazaman. Dengan ini, barulah jihad yang ingin kita laksanakan menjadi kenyataaan.



Firman Allah:
"Adapun yang rasa takut maqam Tuhannya, mencegah diri daripada menurut hawa nafsu syurgalah tempat kembalinya." (An-Nazi'at : 40-41)



"Apakah kamu mengira bahawa kamu akan dibiarkan (begitu saja) sedang Allah belum mengetahui (dalam kenyataan) orang yang berjihad di antara kamu dan tidak mengambil wali (teman rapat) yang setia selain Allah, Rasul-Nya dan orang yang beriman. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan." (At-Taubah : 16)



Sudut-sudut jihad wanita



-Menjadikan rumahtangga tempat yang bahagia untuk keluarga berkumpul.
-Mewujudkan suasana Islam dalam proses pendidikan dan pembesaran anak-anak.
-Menyempurnakan segala urusan rumah tangga menurut syara' dengan penuh keikhlasan semoga akan beroleh keberkatan.
-Mengajak kaum wanita lain memahami prinsip-prinsip Islam dan cara hidup yang Allah tetapkan.
-Memerangi perkara-perkara bid'ah, khurafat serta pemikiran yang salah dan adab-adab yang buruk yang mengusai wanita masa kini.
-Menyertai rancangan kemasyarakatan yang berfaaedah untuk umat manusia amnya, seperti tadika, menjaga anak-anak yatim, kelab pemudi, sekolah-sekolah dan bantuan untuk keluarga miskin.



Sebagai kesimpulan, sekali lagi perlu dijelaskan dalam diri kita bahawa jihad yang utama bagi wanita adalah wajib bagi semua muslimah dalam batas kemampuan yang telah Allah kurniakan. Manakala jihad tambahan yang Allah anugerahkan bersama keistimewaan tertentu tidak boleh membatalkan jihad yang utama. Jihad utama mesti dilaksanakan dahulu.

Friday, August 03, 2007

Tarbiyah Penting Bagi Mendidik Mmanusia

Tarbiyah merupakan satu pendekatan sepadu, bagi mendidik jiwa manusia ke arah cara hidup yang lebih praktis dengan pengamalan Islam yang sering diabaikan oleh banyak pihak, lebih-lebih lagi untuk menghubungkan manusia dengan Maha Pencipta, ia juga bermatlamat untuk melahirkan manusia yang sanggup berkorban bagi memperkasa agama
Para ulama telah membahagikan konsep tarbiyyah kepada beberapa bahagian :

*Tarbiyah Ruhiyyah/Nafsiyyah (Pendidikan Kerohanian/Kejiwaan)
*Tarbiyah Jasmiyyah (Pendidikan Fizikal)
*Tarbiyah Imaniyyah ( Pendidikan Keimanan)
*Tarbiyah Aqliyyah (Pendidikan Mental)
*Tarbiyah Akhlaqiyyah (Pendidikan Akhlak)
*Tarbiyah Fikriyyah (Pendidikan Ketajaman Cara Berfikir)
*Tarbiyah Iqtisadiyyah (Pendidikan Kemantapan Ekonomi)
*Tarbiyah Siasiyyah ( Pendidikan Memperkasa Politik) dan lain-lain.

Apa yang hendak difokuskan di sini adalah Tarbiyah Jiwa manusia agar lebih baik dari sebelum ini, kalau pun sudah baik, ia akan diarah untuk menuju yang lebih baik, ia satu pendekatan kebaikan yang diterima di sisi Allah dan dinilainya sebagai benar-benar baik, kerana manusia hari ini, melihat sesuatu yang baik itu berdasarkan pandangannya semata-mata, kadang-kadang dilihatnya baik, tetapi bagi Allah ia bukan perkara baik.

Begitulah sebaliknya, kadang-kadang manusia melihatnya tidak baik, tetapi bagi Allah baik, sebagai contoh, ada seorang yang suka membantu orang lain, tetapi pada masa yang sama, dia mengingkari perintah Allah sebagai menafikan hukum hudud dan sebagainya, apakah Islam masih melihat orang seumpama ini sebagai orang baik, maka perlu kepada satu kayu pengukur untuk meletakkan amalan seseorang itu diterima di sisi Allah SWT.

Kaedah Tarbiyah Jiwa yang berkesan buat setiap Muslim :

1- Melakukan ibadat secara bersungguh-sungguh, menghubung diri kepada Allah serta menyerahkan diri kepada-Nya dengan rasa kerdil di hadapan-Nya, menerusi pelaksanaan amalan wajib dan meninggalkan egala larangan-Nya.

2- Memperbanyak dan membudayakan pembacaan al-Quran, merenung setiap susunan kata-katanya dan berfikir terhadap rahsia kejadian alam dan sebagainya.

3- Memperbanyak membaca dan mentelaah kitab-kitan agama berunsur nasihat, bimbingan, kaunseling lebih-lebih lagi yang memperkata masalah hati, penyakit dan rawatannya.

4- Rajin untuk hadir majlis-majlis ilmu, ceramah dan forum agama yang boleh membangkitkan kesedaran diri untuk melakukan taubat kepada Allah.

5- Mampu untuk menjaga waktu dengan baik dengan perkara-perkara yang berfaedah tanpa mensia-siakannya.

6- Mesti yakin pada diri untuk berhubung dengan Allah.

7- Bergaul dengan golongan yang baik-baik, terutamanya para ulama yang boleh menunjukkan jalan kebenaran, kesabaran dan sentiasa menyeru kepada perkara yang makruf dan mencegah dari melakukan perkara yang mungkar.

8- Beramal serta menterjemahkan segala ilmu yang diperolehi secara praktikal.

9- Bermuhasabah diri terhadap perkara yang telah dilakukan, sama ada ia baik di sisi Allah atau sebaliknya.

10- Menghina diri di hadapan Allah akan segala kesalahan, keterlanjuran sama ada berupa dosa kecil apatah lagi dosa besar dan bersegera untuk memohon keampunan daripada-Nya.

11- Mengelakkan diri dari bergaul dengan manusia yang mengajak kepada perkara yang melalaikan, malah berusaha bersungguh-sungguh untuk meningkatkan kualiti amal ibadat kepada Allah SWT.

12- Bersabar terhadap karenah manusia tanpa jemu menyeru mereka untuk berpegang kepada Islam dalam apa jua keadaan, kerana ini adalah sebaik-baik tindakan yang perlu ada dalam setiap diri orang Islam.

Semoga Allah SWT memberi kekuatan kepada kita semua agar mampu melakukan apa yang disarankan seperti yang tersebut di atas, bagi menghadapi sisa-sisa hidup dalam melakukan perkara-perkara yang diredai oleh-Nya, Amin.

Agenda harian ‘Tarbiyah Ruhiyyah’

Dalam masa umat Islam sibuk dengan urusan dunia, yang sebahagiannya menyibukkan seseorang itu dari tunduk beribadat kepada Allah SWT, terdapat jenis manusia yang alpa dari berzikir kepada-Nya.

Zikir bukan mesti melalui cara yang formal dengan memegang biji tasbih, malah dalam keadaan berjalan, berdiri, duduk atau berbaring, ia boleh dilakukan dengan penuh rasa minat dan bertanggungjawab kepada-Nya. Dalam kesempatan yang terbatas ini, marilah kita perhatikan konsep ‘Tarbiyah Ruhiyyah’ atau pendidikan jiwa untuk mengisi kekosongan hati kita dengan mengingati Allah SWT.

1- Memelihara solat-solat fardu secara berjemaah di masjid-masjid atau surau-surau dengan penuh kesungguhan, kerana solat adalah perkara pertama yang akan ditanya oleh Allah di akhirat.

2- Memelihara amalan-amalan sunnat qabliyyah dan ba’diyyah.
3- Memelihara wirid dan zikir selepas solat serta zikir-zikir pagi dan petang seperti Ma’thurat.
4- Sentiasa mengucapkan lafaz istighfar iaitu “Astaghfirullah” sebanyak mungkin sebagai pengakuan melakukan kesalahan terhadap Allah.

5- Sentiasa membudayakan pembacaan al-Quran serta merenung dan bertadabbur (memerhati) isi-isi kandungannya.

6- Memelihara dan konsisten walau dua rakaat sunat solat qiyamullail.

7- Menghalakan pengharapan dan ketundukan sebenar hanya kepada Allah SWT.

8- Bersedekah secara sembunyi bagi mengelak diri daripada ditimpa bala Allah.

9- Memelihara kelas-kelas pengajian ilmu agama bagi menghidupkan minda dan roh yang sudah lama mati dan beku.

10- Berusaha untuk berkhidmat kepada orang Islam yang boleh merapat dan memperkasakan persaudaraan sesama muslim.

Amalkan cadangan agenda di atas, insya-Allah anda akan menemui sesuatu yang baru dalam hidup anda sebagai muslim yang benar-benar komited dengan Islam.