Tuesday, October 23, 2007

Teruskan kesungguhan ibadah Ramadan di bulan Syawal

Bulan Ramadan yang menjanjikan seribu macam pahala, sering menjadi rebutan setiap insan muslim. Masing-masing mengharapkan ganjaran pahala yang banyak bagi menampung dosa-dosa yang tidak dapat dihitung dengan sepuluh jari.

Fenomena yang sering berlaku di kalangan masyarakat dalam negara ini adalah ketidaksungguhan mereka meneruskan agenda dan aktiviti keagamaan, ia terhenti dengan berakhirnya Ramadan, seolah-olah Ramadan sahaja bulan untuk beribadat sedangkan bulan-bulan lain tidak perlu berbuat demikian.



Inilah kesilapan yang perlu diperbetulkan dari semasa ke semasa. Allah bagi pandangan mereka hanya wujud pada bulan Ramadan, sedangkan bulan lain bagi tanggapan mereka tidak perlu pengisian rohani. Apabila persepsi ini tidak diubah dari sekarang, mungkin ia akan dianggap betul oleh sesetengah anggota masyarakat. Akhirnya ia menjadi semacam budaya yang merugikan Islam dan umat Islam itu sendiri.



Syawal jadi bulan koreksi diri



Masjid-masjid dan surau-surau kosong dengan pengunjungnya selepas bulan Ramadan, kerana Syawal bagi pandangan sesetengah umat Islam adalah bulan 'rumah terbuka'. Oleh kerana puasa Ramadan juga sebulan, maka berbaloilah apa yang mereka lakukan bagi memenuhi tuntutan nafsu.



Kelas-kelas pengajian seperti ilmu fiqh, akidah tauhid, tafsir, hadis, sirah, tasawwur dan lain-lain hanya dihadiri oleh mereka yang sama juga, itupun tidak berkitab, hanya mendengar. Setiap kali masalah timbul, para penceramah menjadi sasaran untuk diajukan soalan yang sering berulang, sedangkan sepatutnya setiap apa yang didengar perlu dicatat atau berkitab supaya ilmu yang didengar itu bukan hanya ada dalam kitab, malah ia perlu difahami dengan betul sama seperti anak-anak kita belajar di sekolah masing-masing.



Kalau budaya ini berterusan seperti tahun-tahun sudah, maka ia akan melahirkan insan-insan yang tetap sama fahamannya, malah ia tidak meningkat ke satu tahap yang boleh dibanggakan.
Menurut satu riwayat, kalau amalan hari ini tetap sama dengan semalam, atau amalan esok tetap sama dengan hari ini, maka ia menunjukkan tiada satu pencapaian terbaik digarap oleh umat Islam sebulan dalam tazkirah Ramadan.



Alangkah ruginya masa berlalu, tetapi ia tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh insan-insan yang kurang prihatin atau peka kepada isu-isu agama mereka, sedangkan banyak persoalan dikemukan oleh para alim ulama’ dalam forum-forum mereka khususnya yang disiarkan menerusi laman-laman web Islam, antara tajuk-tajuk forum yang patut dihadiri oleh umat Islam di bulan Syawal bagi menggilap kemampuan daya berfikir mereka adalah:



1) Mengapa umat Islam berani menentang Allah secara terbuka?



2) Benarkah kita umat yang komited dengan Islam?



3) Benarkah amalan kita diterima Allah sedangkan kita tidak menyumbang kepada Islam?



4) Adakah kita sebaik-baik umat yang dikeluarkan Allah buat umat manusia sejagat?



5) Mengapa masih terdapat ramai umat Islam tidak menutup aurat?



6) Mengapa Allah bukan matlamat sebenar dalam segenap agenda hidup kita?



7) Mampukah umat Islam mengekang kemaraan musuh-musuh Islam dalam segenap aspek hidup mereka?



8) Dimanakah kita dengan Rasulullah s.a.w.?



9) Mengapa para isteri baginda Rasulullah s.a.w. tidak dijadikan role model kepada muslimah hari ini?



10) Bolehkah kita mati dalam agama Islam?



Dan banyak lagi, yang kiranya apabila umat Islam tidak bersungguh untuk memahami salah satu tajuk di atas sebagai jalan untuk memperkasa diri dengan elemen agama, sudah pasti mereka tidak akan menjadi umat yang berjaya dalam hidup.



Tindakan yang perlu kita buat selepas Ramadan



Justeru, bagi mengekalkan kelangsungan amal ibadat serta hubungan intim dengan Maha Pencipta, adalah disarankan agar saudara/saudari memastikan beberapa panduan di bawah ini:



1) Paling penting yang perlu anda lakukan sebelum yang lain, memohon pertolongan Allah SWT agar terus memberikan hidayat-Nya, menetapkan iman pada jalan agama-Nya serta memperkasa diri dengan ilmu pengetahuan agama.



2) Kekalkan amalan takwa yang digarap ketika melaksanakan ibadat puasa di bulan Ramadan walaupun menjangkau bulan Syawal sebagai bekalan setahun untuk Ramadan akan datang.



3) Perbanyakkan beramal dengan amalan-amalan sunat yang dilakukan pada bulan Ramadan untuk kelangsungan di bulan Syawal dan seterusnya seperti solat-solat sunat, puasa-puasa sunat, banyak berdoa.



4) Banyak bergaul dengan golongan para Solihin seperti majlis zikir, nasihat, kaunseling dan tazkirah.



5) Memperdalami maklumat dan ilmu pengetahuan mengenai sejarah kehidupan para Anbiya’, Nabi Muhammad s.a.w., para sahabat, tokoh-tokoh sarjana Islam terkemuka dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan yang pernah melonjakkan Islam, sama ada melalui pembacaan, mendengar kuliah atau cakera padat, kaset agama dan sebagainya.



6) Memperbanyakkan mendengar kuliah-kuliah fardu ‘Ain di masjid atau surau secara langsung ataupun kaset dan cakera padat (sebagai bahan rujukan tambahan).



7) Memelihara tuntutan ibadat khusus seperti solat lima waktu, mengqada’ puasa yang tertinggal kerana sakit, musafir atau uzur syari’e, kerana ia amat dituntut untuk dilakukan segera.



8) Memelihara amalan-amalan sunat seperti puasa enam hari di bulan syawal, bersedekah, menziarahi sanak-saudara, jiran tetangga, sahabat-handai dan lain-lain.



9) Membaca al-Quran, bermula dengan menghafaz surah-surah pendek dan menghafaz ayat-ayat penting sebagai pendiding diri seperti ayat kursi, surah al-Mulk, Yasin dan lain-lain.



10) Memperbanyak zikir dan wirid, terutamanya zikir Ma’thurat susunan Imam Syahid Hasan al-Banna.



11) Menjauhkan diri dari perkara-perkara yang boleh merosakkan hati, sama ada bergaul dengan golongan maksiat, menonton filem lucah, membaca majalah-majalah yang boleh melalaikan seperti hiburan dan lain-lain, mendengar muzik yang melalaikan dan banyak lagi.
12) Bertaubat lah kepada Allah SWT dengan kadar segera dengan menyesali apa yang telah dilakukan yang menyalahi hukum syarak dan berazam tidak akan mengulanginya pada masa-masa akan datang.



13) Berhenti dari merokok terutamanya jenama rokok milik Zionis Israel, Amerika dan Britain yang menghimpun dana bagi membeli senjata untuk membunuh saudara-saudara Islam di Palestin, Lubnan dan lain-lain.



14) Menyesali atas perbuatan menghadiri program-program maksiat seperti hiburan yang melalaikan atau sukan yang mengalang diri dari menunaikan solat lima waktu.



15) Gigih untuk meninggalkan segala tegahan dan larangan Allah serta Rasulullah s.a.w dan bersedia melakukan segala perintah dengan penuh rasa tanggungjawab dan pasrah kepada arahan kedua-duanya.




Janganlah jadi golongan yang hanya mengenali Allah SWT di bulan Ramadan semata-mata dengan amalan yang banyak, malah jadikanlah diri anda sekalian sebagai hamba-hamba Allah yang bertakwa sepanjang masa.

Friday, October 12, 2007

Eid Saied


Jadilah graduan Universiti Ramadan yang hebat
Alangkah bahagia dan gembiranya pasangan kedua ibu bapa, apabila mendapat tahu bahawa anak mereka berjaya dalam pengajian dan pendidikan, apatah lagi mendapat cemerlang dengan keputusan yang memberangsangkan.
Maka layaklah anak mereka digelar sebagai graduan atau mahasiswaserta layak menghadiri upacara kemuncak iaitu hari konvokesyen yang penuh bersejarah.

Graduan yang hebat bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran, malah cemerlang dalam segenap tindakan, tutur-kata, budi bahasa bukan hanya ketika berada di kampus universiti, malah ia menjadi darah daging sepanjang hidup.

Begitulah dengan umat Islam yang menjalani ibadat puasa selama sebulan di bulan Ramadan, mereka sedang berada dalam sebuah universiti yang menawarkan pelbagai pengajaran yang terdiri daripada Tarbiah Ruhiyyah (kerohanian), Tarbiah Nafsiah (kejiwaan seperti mendidik jadi orang yang bersabar), Tarbiah Imaniah (keimanan hingga meraih golongan bertakwa yang merupakan kemuncak daripada matlamat berpuasa), Tarbiah Aqliah (membentul akal agar sentiasa positif kepada Islam seperti menitik-beratkan motivasi al-Quran) di bulan Ramadan.

Apabila kesemua bentuk tarbiah itu diadun dalam satu diri muslim yang komited dengan Islam khususnya pada bulan Ramadan, ditambah dengan penggarapan ilmu menerusi program tazkirah, maka akan lahirlah insan muslim yang bertakwa sungguh-sungguh kepada Allah SWT, iaitu dalam erti kata takwa yang menjadikannya takut kepada Allah, beramal dengan segala perintah-Nya di dalam al-Quran, reda terhadap qada’ dan qadar-Nya serta bersiap-siap dengan bekalan untuk menghadapi-Nya.

Insan muslim seumpama ini tidak akan keluar daripada Universiti Ramadan menjadi orang yang menantang hukum-hakam Allah SWT, kerana maksud menentang dalam bahasa Arab ialah orang yang kafir, istilah kafir bukannya ditujukan kepada mereka yang belum Islam, kerana bukan semua yang belum Islam menentang kebenaran Islam, malah ia lebih ditujukan kepada orang yang menentang Allah, kerana yang membaca al-Quran adalah terdiri daripada yang bernama, yang bukan Islam tidak akan membacanya, justeru dia lupa untuk memperhalusi ayat 101 surah Ali ‘Imran yang bermaksud: "Bagaimana kamu boleh jadi kafir (golongan penentang), sedangkan kamu baca al-Quran dan Rasulullah bersama dengan kamu?

Merekalah golongan yang sebenarnya layak untuk memeriah serta menyambut malam konvokesyen iaitu malam hari raya kerana hampir sebulan mereka melakukan amal-amal ibadat yang seolah-olah mengembalikan mereka kepada fitrah ('Idul Fitri) yang tidak berdosa bagaikan baru lahir daripada perut ibu-ibu mereka.

Seterusnya mereka tidak sekali-kali reda untuk terlibat dalam perkara yang merosakkan malam raya, kerana mereka sedar bahawa orang yang merosakkannya menerima akibat (implikasi) hati yang mati, sedangkan hati yang mati tidak akan dipandang oleh Allah SWT, firman-Nya dalam surah as-Syu'ara ayat 89 bermaksud: "Di hari (kiamat) harta dan anak pinak tidak berguna, melainkan orang-orang yang menghadap Allah dengan hati yang sejahtera (hidup) dengan Islam."

Graduan-graduan Ramadan yang cemerlang akan menghidupkan malam hari raya dengan bertakbir, berzikir, membaca al-Quran, bersolat sunat, mereka sekali-kali tidak akan reda membasahi bibir dengan perkataan yang sia-sia.

Mereka sedar bahawa lafaz-lafaz takbir mengandungi maksud tarbiah ruh dan iman yang kental yang mampu membawa mereka mencapai status insan-insan yang benar-benar bertakwa kepada Allah SWT.

Wednesday, October 03, 2007

Ihya di malam-malam terakhir Ramadan


Baginda Rasulullah s.a.w apabila masuk sepuluh malam terakhir (bulan Ramadan), baginda menghidupkan malam-malam tersebut dengan mengejutkan isterinya dan mengikat kainnya (menunjukkan kesungguhan baginda pada malam tersebut dengan menjauhkan diri daripada bersama isteri-isterinya).

Hadis riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim daripada Aishah r.a. sabda baginda s.a.w lagi yang bermaksud : Sesiapa yang bangun pada malam al-Qadr (beribadat) dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredaan Allah SWT, maka dosa-dosanya yang telah lalu diampunkan oleh Allah SWT. (hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

Kepentingan waktu malam dalam kamus Islam

Malam merupakan satu waktu yang hening dan penuh kedamaian, ia amat sesuai untuk dilakukan amal ibadat kerana pada waktu itu, ramai di kalangan manusia sedang tidur dan mungkin juga melakukan perkara-perkara yang tidak disukai Allah seperti menonton pertandingan bolasepak secara langsung dan sebagainya.

Mereka dengan sendirinya boleh terjaga dari tidur walaupun tidak mengunci jam loceng untuk bangun, tetapi masa untuk Allah agak liat dan sukar untuk dilakukan, sehingga mereka menzalimi diri kerana tidak sanggup melakukan ibadat walaupun hanya dua rakaat.

Justeru, Islam melihat waktu malam adalah penting, kerana peristiwa-peristiwa penting dalam sejarah Islam berlaku pada waktu malam seperti turunnya al-Quran pada malam al-Qadr, penghijrahan baginda Rasulullah s.a.w dari Mekah ke Madinah waktu malam, Israk Mikraj juga berlaku pada waktu malam, Qiyamullail waktu malam ia tidak berlaku pada waktu siang, kerana ia masa yang amat sesuai untuk mengadu nasib kepada Allah setelah penat bekerja pada siang hari.

Sesungguhnya Allah SWT memuji hamba-hambaNya yang sanggup bangun waktu malam semata-mata untuk beribadat, bermunajat kepada-Nya dan menjadikan waktu malam bagi menempah tempat di dalam Syurga-Nya, perkara ini disebut oleh Allah dalam ayat 16 surah as-Sajadah yang bermaksud: "Lambung mereka jauh dari tempat tidurnya (mereka tidak tidur di waktu biasanya orang tidur, kerana melakukan sembahyang malam), sedang mereka berdoa kepada Tuhan mereka dengan rasa tahut dan penuh pengharapan."

Firman Allah lagi dalam ayat 17-18 menerusi surah az-Zariyat: "Mereka (orang-orang yang bertakwa) sedikit sekali tidur di waktu malam - Dan di akhir-akhir malam mereka memohon ampun kepada Allah.

Malam al-Qadr di sepuluh malam terakhir Ramadan

Jelas dari apa yang disebutkan oleh baginda Rasulullah s.a.w dalam dua hadis di atas, membayangkan kepada kita tentang kesungguhan baginda untuk bangun malam beribadat dan bermunajat kepada Allah, sedangkan dosa-dosa baginda yang telah lalu dan akan datang diampunkan Allah SWT.

Bukan sahaja baginda melakukannya secara bersendirian, malah memastikan agar isteri dan ahli keluarganya juga tidak membiarkan waktu malam berlalu begitu sahaja tanpa melakukan aktiviti kerohanian sebagai jalan untuk menempah tempat dalam syurga.

Apatah lagi pada malam-malam terakhir Ramadan yang terdapat padanya malam al-Qadr.
Allah SWT sebut dalam al-Quran, bahawa malam al-Qadr adalah lebih baik dari 1000 bulan, iaitu kira-kira 83 tahun empat bulan, ini bermakna jika seseorang itu menghidupkan malam-malam terakhir Ramadan dengan solat fardu berjamaah, tarawih, membaca al-Quran, Qiyamullail menepati malam al-Qadr, maka dia akan meraih pahala sebanyak 83 tahun empat bulan, sedangkan umurnya mungkin baru mencecah 63 tahun, seolah-olah pahalanya tahun ini melebihi dua puluh tahun daripada umurnya, inilah yang dikatakan rahmat dan bonus setahun beribadat.


Kerana pada malam al-Qadr juga para malaikat dan malaikat Jibril turun dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan, tugas nalaikat pula ada yang mencatat segala amalan yang tidak akan dikurangkan atau ditambah dengan sewenang-wenangnya.

Tetapi mengapakah masih ramai lagi di kalangan umat Islam dalam negara kita tidak bersungguh untuk merebut peluang keemasan ini yang hanya dating setahun sekali?
Menurut para ulama, antara sebab mengapa mereka tidak mengisi malam-malam sepuluh terakhir Ramadan dengan amalan yang bermanfaat, kerana tidak memiliki iman yang kental, kurang membaca al-Quran, tidak berkawan dengan orang-orang yang bertakwa, orang-orang soleh, tidak istiqamah dalam mengamalkan amalan-amalan Islam, tidak memiliki ilmu pengetahuan yang cukup mengenai ajaran Islam sebenar.


Faktor yang memudahkan seseorang itu boleh bangun untuk berqiyamullail
Menurut Syeikh Muhammad Solih al-Munajjid, terdapat beberapa faktor penting yang dilihat boleh membantu umat Islam untuk bangun bagi melakukan solat di tengah malam seperti di bawah ini:


1. Ikhlas kepada Allah dalam setiap tindakan yang dilakukan bagi meraih keredaan-Nya, iaitu melakukan solat malam dengan merahsiakannya daripada pengetahuan orang ramai, ia bertujuan supaya tidak ada rasa riak dalam diri.

2. Hendaklah bagi orang yang melakukan solat malam itu mempunyai perasaan dalaman, bahawa Allah SWT menjemputnya untuk bangun di tengah malam.

3. Mengetahui sedalam-dalamnya ilmu mengenai kelebihan bangun di tengah malam berdasarkan pengajian dan perbincangan.

4. Memerhati kepada kesungguhan individu-individu terdahulu daripada kita yang istiqamah dan iltizam melakukan qiyamullail khususnya para solihin di kalngan para sahabat dan ulama.

5. Tidur di atas lambung sebelah kanan akan memudahkan seseorang itu boleh bangun di tengah malam seperti yang ditunjukkan oleh baginda Rasulullah s.a.w.

6. Tidur dalam keadaan berwuduk seperti ditegaskan oleh Rasulullah; "Apabila anda hendak masuk tidur, berwuduklah seperti untuk menunaikan solat." Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim daripada al-Barra Bin Azib.

7. Bersegera masuk tidur (tidur di awal waktu) terutama lepas solat Isyak seperti amalan yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.

8. Berzikir dengan wirid-wirid yang Ma'thur seperti Ma'thurat sebelum tidur, kerana ia menjadi benteng diri daripada kejahatan Syaitan dan membantu untuk mudah bangun, atau ayat-ayat pilihan dari al-Quran, baca doa tidur, membaca tiga Qul dan sebagainya.

9. Seboleh-bolehnya tidur sebentar di siang hari yang dikenali sebagai 'Qailulah', iaitu sebelum masuk waktu Zohor atau selepasnya, ala kadar setengah jam.

10. Elak daripada banyak makan dan minum, kerana ia boleh membantutkan hasrat untuk bangun di tengah malam.

11. Bertekad sedaya upaya untuk bangun malam dalam apa jua keadaan.

12. Menjauhkan dosa dan maksiat, kerana ia dikenal-pasti sebagai penghalang pertama dan utama dari mudah untuk bangun di tengah malam.

13. Membuat perhitungan diri (muhasabah) jika tidak mampu untuk bangun di tengah malam.

Ketahuilah wahai saudara-saudaraku sekalian!

Qiyamullail adalah ibadat yang menghubungkan hati kita dengan Allah selain ia adalah sunnah muakkadah yang sangat dianjurkan oleh Nabi s.a.w. Baginda bersabda : "Hendaklah kamu lakukan solat di tengah malam, sesungguhnya ia merupakan kebiasaan kepada orang-orang soleh sebelum kamu, ia boleh mendekatkan kamu kepada Tuhan kamu, ia juga penghapus segala dosa, penghalang daripada terjebak kepada maksiat dan dosa dan penawar kepada penyakit yang ada di tubuh." Hadis riwayat Imam Ahmad dan Tirmizi.