Saturday, September 06, 2008

Salam Ramadhan.....

Firman Allah s.w.t.yang bermaksud : “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenaiKu, maka (beritahulah kepada mereka) sesungguhnya Aku (Allah) sangat hampir (kepada mereka). Aku perkenankan permohonan orang-orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka mendapat petunjuk” [Surah Al-Baqarah : 186]

Sesungguhnya, bulan Ramadhan adalah bulan Muqarabatillah. Bulan untuk seorang hamba menghampirkan dirinya kepada Allah s.w.t. Lihatlah bagaimana Allah s.w.t. menyelitkan ayat di atas di tengah-tengah perenggan ayat-ayat puasa Ramadhan bermula dari ayat 183 hinggalah ayat 188 dari surah Al-Baqarah. Dengan jelas Allah s.w.t. menyatakan bahawa Ia amat hampir dengan hambaNya, lantas menerima permintaan hambaNya apabila mereka meminta dengan syarat, mereka beriman dan mematuhi segala perintahNya.

Walaubagaimana pun, harus kita faham bahawa Muqarabah itu ada jalan dan tangganya. Tanpa melalui jalannya yang betul tidak akan menyampaikan kita kepada tujuannya. Tanpa meniti tangganya secara berperingkat, kita tidak akan sampai ke puncaknya. Jalan atau tingkat tangga Muqarabah itu ialah sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah s.w.t. melalui Rasulillah s.a.w. di dalam hadith qudsi berikut :

Yang bermaksud ; dari Abu Hurairah r.a. lapornya ; telah bersabda Rasulullah s.a.w. ; sesungguhnya Allah s.w.t. telah berfirman : “Barangsiapa yang menyakiti waliku, maka sesungguhnya Aku mengisytiharkan perang kepadanya. Dan tiada mendekatkan diri hambaKu kepadaKu dengan sesuatu amalan yang lebih Aku sukai dari apa yang telah Aku fardhukan ke atasnya. Dan sentiasalah hambaKu menghampirkan diri kepadaKu dengan melakukan amalan sunat (nawafil) hingga Aku mencintainya. Maka apabila Aku mencintainya, Akulah pendengarannya yang ia mendengar dengannya dan penglihatannya yang ia melihat dengannya dan tangannya yang ia menampar dengannya dan kakinya yang ia berjalan dengannya . Dan jika ia meminta kepadaKu nescaya Aku benar-benar akan memberikan kepadanya dan jika ia meminta perlindunganKu nescaya Aku benar-benar akan menlindunginya” [HR Al-Bukhari]

Tangga pertama yang mesti dijejaki oleh mereka yang ingin menghampirkan dirinya kepada Allah s.w.t. ialah dengan melaksanakan AMALAN YANG FARDHU. Inilah aulawiyat atau keutamaan dalam beramal. Perkara yang fardhu ialah perkara yang jelas secara putus pada nas samada dalam bentuk suruhan atau tegahan. Setelah menyempurnakan kefardhuan, barulah digalakkan kita untuk menjejaki tangga MuqarabatilLah yang seterusnya iaitu istiqamah dengan AMALAN-AMALAN SUNAT atau nawafil sehingga mencapai puncak MahabbatilLah (Cinta Allah) yang diidam-idamkan. Mereka yang mencapai maqam tersebut, penglihatannya, pendengarannya, tindakan dan kerja buatnya akan sentiasa dilindungi dan dipelihara oleh Allah s.w.t. Merekalah Wali Allah yang sebenarnya.

Berikut di antara perkara fardhu yang perlu diberi perhatian dan keutamaan dalam beramal di sepanjang bulan Ramadhan :

  • Iman yang benar dan menjauhi syirik serta kufur. Firman Allah s.w.t. : Yang bermaksud : “barangsiapa yang kafir sesudah beriman, maka terbatallah amalannya dan dia di hari akhirat tergolong dari kalangan orang yang merugi” [Al-Maidah : 5]
  • Solat Fardhu 5 waktu dengan sempurna (berjamaah bagi lelaki). Firman Allah s.w.t. : Yang bermaksud : “Sesungguhnya shalat itu adalah fardhu yang ditentukan waktunya atas orang-orang yang beriman.” [An-Nisaa’ : 103]
  • Berpuasa dengan menjaga segala kesempurnaannya. Firman Allah s.w.t. :Yang bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman, difardhukan ke atas kamu berpuasa sebagaimana yang telah difardhukan ke atas mereka yang sebelum kamu, semoga kamu bertaqwa” [Al-Baqarah : 183]
  • Meninggalkan pekerjaan maksiat dan mungkar. Sabda Rasulullah s.a.w. :Yang bermaksud : “Barangsiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan mengerjakan kedustaan, maka Allah tidak berhajat kepada amalannya dalam meninggalkan makanan dan minumannya". [HR Al-Bukhari]
  • Menuntut ilmu, menghidupkan tazkirah. Sabda Rasulullah s.a.w. : Yang bermaksud : “Menuntut ilmu itu satu kefardhuan ke atas setiap orang Islam” [HR Ibn Majah – Ulama’ Hadith berbeza pendapat dalam menetapkan darjat hadith ini. Pendapat yang terpilih ialah darjatnya sekurang-kurangnya hasan]
  • Melaksanakan keadilan dan tidak berlaku zalim. Hadith Rasulullah s.a.w. : Dari Abi Dzar Al-Ghifari r.a. ; dari Nabi s.a.w. yang diriwayatkan dari Rabbnya Azza wa Jalla ; “Wahai hamba-hambaKu, sesungguhnya Aku telah haramkan kezaliman di atas diriKu, dan Aku jadikan dia perkara yang diharamkan antara kamu, maka janganlah kamu berbuat zalim” [HR Muslim]
  • Usaha dakwah, amar makruf nahi mungkar, pendidikan anak-anak, menjaga isteri dan keluarga, usaha menegakkan syariat, jihad fi sabilillah, infaq wajib (zakat) dan sebagainya.
Kesimpulannya, dalam keghairahan kita memperbanyakkan ibadah sunat di bulan Ramadhan ini, jangan sampai kita mencuaikan amalan-amalan fardhu yang merupakan tangga pertama dalam usaha kita untuk mendapat tempat di sisiNya dan bernaung dalam pemeliharaan cintaNya.