Tuesday, March 24, 2009

Jatidiri Muslimah

MUQADDIMAH

Dunia terus bergerak ke depan meninggalkan coretan-coretan kenangan pahit manis di dalam sejarah manusia. Melangkah ke abad 21 menyaksikan bagaimana Islam seolah-olah menjadi musuh utama kepada manusia. Keganasan, penindasan, ketidakadilan sosial, diktator dan pelbagai lagi isitilah-istilah yang kurang enak dikaitkan dengan Islam. Dalam masa yang sama, kelompok-kelompok yang menyintai sistem Islam mula diterima di tempat masing-masing. Kebangkitan kelompok pro-Islam di Turki dan Pakistan pada tahun 2002 adalah implikasi tidak langsung kepada tuduhan melulu yang dilemparkan oleh musuh-musuh terhadap Islam ekoran peristiwa 11 September 2001. Justeru, jurang di antara masyarakat dunia semakin melebar. Satu kelompok semakin memusuhi Islam dan satu kelompok semakin menunjukkan sokongan kepada Islam. Di Palestin, semangat kecintaan kepada Islam dan syahid sudah mewarnai gelombang cita-cita anak-anak muda. Kita sudah tidak terkejut apabila mendengar gadis-gadis muslimah meletupkan diri semata-mata kerana jihad. Di tengah-tengah pertembungan yang semakin sengit ini, apakah jatidiri muslimah yang sebenar yang ingin kita bentuk di dalam anak-anak gadis kita hari ini?



GENERASI MUSLIMAH YANG KITA IMPIKAN

Muslimah sama sekali tidak boleh memisahkan diri dari gerakan dakwah. Tidak ada sebarang alasan yang munasabah untuk membiarkan muslimah terceruk di dapur berkawan dengan periuk dan kuali manakala di luar sana anak-anak gadis kita dimurtadkan dan diseret ke lembah kehinaan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Kita tidak mahu para ustazah yang bertudung labuh hanya memandang medan perjuangan ialah di samping keluarga (dan suami tentunya) lantas mengenepikan persoalan ummah yang kian meruncing. Muslimah seharusnya mempunyai cita-cita untuk menjadi seorang da’iah. Di dalam Al-Quran, tugas amr makruf dan nahi munkar turut melibatkan muslimah apabila Allah SWT bersabda (yang bermaksud) :

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Surah At-Taubah, ayat 71)

Generasi muslimah yang kita cita-citakan ialah generasi yang rela untuk turut membawa obor perjuangan bersama-sama kaum muslimin. Mereka seharusnya mempunyai ciri-ciri yang berikut :

1. Ilmu dan thaqofah yang bertenaga dan mantap untuk berdepan dengan permasalahan masyarakat. Kita tidak ingin lahirnya generasi yang hanya pandai bercakap dan menjadi pak turut namun kelu apabila berbicara tentang permasalahan yang berkaitan dengan agama. Seorang muslimah sejati yang bercita-cita untuk muncul sebagai da’iah seharusnya menguasai pelbagai cabang ilmu khususnya permasalahan fiqh yang membabitkan golongan wanita. Kekurangan yang dihadapi oleh umat Islam ialah kurangnya pakar-pakar di dalam ilmu-ilmu yang tertentu mengakibatkan pergantungan yang ketara kepada orang lain yang bukan Islam.

2. Kefahaman yang jitu mengenai selok belok perjuangan dan harakah islamiyyah. Generasi muslimah yang ideal ialah generasi yang dibentuk oleh pentarbiyahan yang berkesan dan melalui marhalah-marhalah tarbiyyah yang telah disusun secara khusus. Marhalah-marhalah ta’rif, takwin dan tanfiz perlu dilalui oleh setiap jundiyy yang ingin berbakti kepada Islam. Bagaimanapun, proses ini bukanlah sesuatu yang mutlak di dalam melahirkan kader-kader pejuang memandangkan ia adalah satu teori yang baru muncul di abad yang lalu. Namun, teori ini dianggap paling sempurna di dalam melahirkan muslimah yang benar-benar mengetahui apakah tuntutan sebenar mereka di dalam harakah islamiyyah yang akan diceburi. Bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa ramai yang telah melalui proses pentarbiyahan akhirnya layu di medan perjuangan yang sebenar.

3. Bersyakhsiyyah dan Berakhlak yang mampu menarik minat dan kecenderungan orang lain kepada dakwah. Seorang muslimah adalah umpama bunga yang berkembang mekar. Keindahan bunga tidak mungkin akan lengkap seandainya baunya tidak enak untuk dihidu. Akhlak itulah umpama bau bagi sekuntum bunga. Di tengah-tengah kebejatan sosial yang melanda umat remaja hari ini, alangkah baiknya jikalau muncul generasi muslimah yang benar-benar iltizam dengan syakhsiyyah islamiyyah. Bertudung labuh dan berjubah menjadi uniform bagi generasi muslimah yang ideal.

4. Semangat dan Istiqomah yang bersemarak di dalam jiwa generasi pejuang perlu dibentuk agar setiap usaha yang dilakukan tidak layu di pertengahan jalan. Sesungguhnya sudah ramai sebelum kita yang mempunyai bakat yang hebat dan ilmu yang mantap namun akhirnya gugur di pertengahan jalan. Golongan mutasaqitun seperti ini terlalu ramai, malah kita sendiri pun tidak boleh mendabik dada mendakwa bahawa kita pasti akan selamat. Jalan yang terbaik ialah sentiasa memanjatkan doa kepada Allah SWT agar ditetapkan iman kita selepas kita menerima hidayah (Ali-Imran, ayat 8)

5. Ikhlas di dalam apa jua gerak kerja perjuangan kerana inilah yang menjamin para muslimah untuk mendapat ganjaran di sisi Allah SWT.

KESIMPULAN

Apa yang dinyatakan di sini sekalipun secara ringkas namun ia rasanya sudah cukup untuk menjadi satu garis panduan secara umum untuk generasi remaja muslimah hari ini membentuk jatidiri diri. Sesungguhnya, perjuangan ini pastinya akan mendapat kejayaan, sekalipun tidak di dunia namun di akhirat. Jadikanlah lafaz dan ikrar yang sering dikumandangkan melalui doa iftitah di dalam solat sebagai satu kenyataan di dalam hidup. Sesungguhnya perjuangan ertinya menjala susah, meratah gundah, merelakan pengorbanan dan menanggung penderitaan. Tabahlah dan bertindaklah secara matang dalam mengharungi kepayahan, biarlah Allah menentukan hasilnya.

Wednesday, March 11, 2009

Khutbah Jumaat: Orang Mukmin Gembira Dengan Maulid Nabi Mereka

Segala puji bagi Allah, Tuhan Yang Maha Berkuasa, Yang Maha Pemurah, Yang Maha Agung, Yang Maha Mengasihani, Dia yang mengampuni akan hamba-hamba-Nya dan Dialah berkuasa atas setiap sesuatu. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, Tuhan Yang Esa, tiada sekutu bagi-Nya, suci dari setiap kekurangan dan Dia bersifat dengan setiap kesempurnaan.

Aku bersaksi bahawa Saidina Muhammad itu adalah hamba dan Rasul-Nya yang telah berjihad di jalan Allah dengan jihad yang bersungguh-sungguh.

Selawat ke atas Baginda serta ahli keluarganya yang suci, juga kepada para sahabat Baginda yang terpilih serta salam sebanyak-banyaknya.

Wahai hamba-hamba Allah, Firman Allah: ((Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya sentiasa berselawat ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawat dan salamlah kepadanya.)) - Surah Al-Ahzab:Ayat 56

Perintah ini merupakan satu penghormatan bagi membesarkan kedudukan Baginda salallahualaihi wasalam Begitu juga arahan malaikat berselawat ke atas Baginda salallahualaihi wasalam serta Allah memerintahkan orang-orang mukmin yang lain-iaitu lah hingga Hari Kiamat- agar mereka berselawat dan mengucapkan salam ke atasnya. Ini kerana Rasulullah s.a.w hidup selepas kewafatan Baginda dengan kehidupan yang utama serta istimewa, oleh kerana itu Allah menyuruh dengan menggunakan fiil mudharik yang membawa maksud, ((Allah dan para malaikat-Nya sentiasa berselawat ke atas Baginda...)) Iaitu Allah tidak berselawat ke atas mayat bahkan Dia dan malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi kita yang hidup beserta roh dan jasad hingga hari Kiamat.

Allah telah berselawat ke atas Baginda pada waktu lepas, sekarang dan sentiasa hingga tiada penghujung.

Kita tidak mengucapkan salam ke atas mayat Nabi yang mati, bahkan kita mengucapkan salam ke atas Nabi yang pernah bersabda sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Abu Daud, "Allah akan mengembalikan roh aku lalu aku menjawab ke atasnya (orang yang berselawat ke atasku) akan salamnya" dan sebagaimana sabda Baginda yang diriwayatkan oleh Abu Yu'la dalam musnadnya daripada Anas serta Imam Ahmad, "Para anbiya' hidup di dalam kubur mereka, mereka (para nabi) bersembahyang (dalam kubur mereka)." Dan juga sabda Baginda sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Ibnu Majah, "Sesungguhnya Allah mengharamkan kepada bumi daripada memakan jasad para anbiya'."

Tidak dapat tidak kita mesti berpegang kepada akidah ini sebagaimana pada setiap kali sembahyang kita diperintahkan agar berselawat dan mengucapkan salam ke atas Baginda dengan "kaf al-khitab" iaitu : "Assalamualaika ayyuha al-nabi" (Salam sejahtera ke atasmu wahai Nabi). Salam dan seruan tidak berlaku kepada sesuatu yang tiada tetapi diseru kepada sesuatu yang wujud kerana agama kita tidak menyuruh melakukan amalan yang sia-sia.

Hadis dikeluarkan oleh Imam Bukhari dan selainnya: Allah telah menghimpunkan sekalian Nabi dan Rasul bagi Baginda s.a.w pada malam Mikrajnya, yang demikian itu selepas kewafatan mereka dan ada yang telah dikebumikan di dalam tanah.

Fikirkan: Bagaimana Allah mampu menghidupkan mereka (para Nabi dan Rasul)? Dan bagaimana mereka datang? Bagaimana mereka sampai dan bagaimana Baginda s.a.w melihat mereka di langit? Fikirkan lagi: Bagaimana Allah mengangkat mereka ke langit sedangkan mereka disemadikan di bumi?

Baginda Rasulullah s.a.w melihat Nabi Adam pada langit pertama, Nabi Isa dan Yahya pada langit kedua, Nabi Yusuf pada langit ketiga, Nabi Idris pada langit keempat, Nabi Harun di langit kelima, Nabi Musa di langit keenam serta Nabi Ibrahim pada langit ketujuh.

Para Nabi tersebut telahpun wafat dan disemadikan tetapi Allah telah menghidupkan mereka dan Nabi kita s.a.w sebaik-baik Nabi dan Rasul, tentulah lebih afdhal untuk dihidupkan.

Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan selainnya bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda-dalam keadaan Baginda sedang haji-, "Seolah-olah aku melihat Musa bin Imran sedang bertalbiah mengangkat suaranya" Iaitu: dalam keadaan mengangkat suaranya ketika bertalbiah. "Dan seolah-olah aku melihat Yunus bin Matta". Dalam ibadat haji tersebut Baginda s.a.w telah melihat para Nabi dan Rasul hidup, bagaimana pula keadaan ketua mereka (Nabi Muhammad s.a.w)?

Juga diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan selainnya, "Bahawa Baginda s.a.w pada malam Mikrajnya telah melalui kawasan kubur Nabi Musa lalu Baginda bersabda: Aku melihat Musa bin Imran sedang berdiri bersembahyang di dalam kuburnya di sisi bukit pasir merah (iaitu di Palestin).

Dan aku telah menziarahinya (Syeikh Soleh telah menziarahi tempat suci ini sebagai mengambil berkat-tabarruk) dan aku melihat bukit tersebut masih ada hingga sekarang.

Lihat bagaimana Allah berfirman tentang bapa saudara Baginda, Hamzah bin Abdul Muttalib yang syahid : ((Bahkan mereka (iaitu orang-orang yang mati syahid itu) hidup di sisi Tuhan mereka dalam keadaan mereka diberi rezeki. Wajah mereka berseri-seri penuh kegembiraan atas kelebihan kurniaan-Nya. Mereka senang melihat saudara-saudara yang ditinggalkan di dunia tetap berada di jalan keimanan dan perjuangan. Selain itu, mereka (para syuhada') tidak takut akan sesuatu yang tidak disenangi bahkan mereka tidak akan bersedih kerana kehilangan sesuatu yang disenangi.)) Surah Ali Imran :Ayat 170

Allah telah menyifatkan para syuhada' dengan tujuh sifat di atas, maka Nabi kita terlebih aula dengan sifat-sifat ini kerana Baginda sebaik-baik makhluk. Oleh kerana itu, Allah telah mengharamkan isteri-isteri Baginda dikahwini (selepas kewafatan Baginda), juga harta Baginda tidak boleh diwarisi kerana harta orang hidup tidak boleh diwarisi.

Ketahuilah Baginda s.a.w hidup dalam kuburnya. Berpeganglah dengan pegangan ini. Dan ucaplah salam ke atas Baginda dalam selawat kamu sepertimana salam kamu ke atas orang yang hidup, Baginda tidak mati sepertimana matinya kita di dalam kubur yang mana akan lenyaplah kebesaran dan keagungan kita. Bagaimana tidak? Kerana Baginda merupakan penghulu ‘alam ini dan Rasul bagi Tuhan sekalian alam.

Ya Allah! Ampunilah dosa kami, sama ada mereka yang masih hidup atau telah mati.Tunjukkanlah kami ke jalan yang lurus, bantulah kami kepada kebaikan serta jauhilah kami daripada kejahatan.

Ya Allah! Jadikanlah kami kekasih-Mu, jadikanlah kami orang-orang yang sentiasa mengingati-Mu, jadikanlah kami orang-orang yang ikhlas serta dari kalangan orang-orang yang bertaqwa.

Ya Allah! Kuniakanlah kami bantuan-Mu yang berterusan kepada negara ini, juga kepada sekalian negara-negara umat Islam. Ya Allah! Sebagaimana Engkau jadikan Ahlul Bait (keluarga Rasulullah) adalah sebaik-baik manusia yang dekat dengan Rasulullah, maka engkau limpahilah ahli Mesir dengan kemuliaan Ahli Bait Nabi-Mu iaitu dengan As-Syahid Saidina Husain, dia hidup dalam kuburnya kerana dia syahid di sisi-Mu dengan kemuliannya wahai Tuhan ampunilah kami serta kasihanilah kami dan tunjukkanlah kami jalan yang lurus.

Ya Allah! Bantulah pemimpin kami ke arah kebaikan. Ya Allah! Sebagaimana Engkau Bantu mereka untuk kemenangan maka bantulah mereka kepada kebaikan, jadikanlah kebaikan berada di hadapan mereka, peliharalah tentera-tentera mereka dan rakyat mereka serta sekalian ulamak.


Khutbah ini disampaikan oleh Syeikh Soleh Jaafari r.anhu di Masjid Al-Azhar di sekitar tahun 60-an.

Sumber: Kitab Himpunan Khutbah Syeikh Soleh Jaafari ra.nhu