Wednesday, January 27, 2010

Kelas Tahfiz ibnu al-Jazari

Alhamdulillah, tahun ini saya dikehendaki menjadi tenaga pengajar kepada kelas Tahfiz 1 Al-Jazari. Sebuah kelas khusus untuk tahfiz. Kelas ini merupakan perintis kepada kelas tahfiz di Maahad SAS dan merupakan kesinambungan kepada kelas tahfiz bestari. semoga Allah memudahkan semua urusan kami dalam menjayakan kelas ini. saya dikehendaki menjaga seramai 15 orang anak murid di kalngan pelajar perempuan dalam kelas ini.

Kelas 1 ibnu al-Jazari - Maahad as-Sultan Ahmad Shah ad-Dini (Maahad SAS) telah mencipta sejarah dengan penubuhan kelas Tahfiz al-Jazari bagi memberi peluang dan pendedahan kepada para pelajar yang berminat untuk menghafaz al-Quran seiring dengan pembelajaran akademik.

Kelas al-Jazari ini ditubuhkan rentetan daripada sambutan yang cukup menggalakkan daripada pelajar terhadap program kelab tahfiz yang mula diperkenalkan pada tahun 2003. Kelab tahfiz ini hasil cetusan idea Encik Mohd Nasir bin Abdul Malik, Pengetua Maahad SAS ketika itu.

Sehubungan dengan itu, Maahad SAS telah menaik taraf kelab tahfiz kepada kelas Tahfiz al-Jazari untuk memberi tumpuan dalam bidang hafalan al-Quran secara khusus dan bersistematik. Pada sesi ini, seramai 15 orang pelajar lelaki dan 15 orang pelajar perempuan telah dipilih berdasarkan kriteria-kriteria yang telah ditentukan oleh guru hafiz. Antara kriteria-kriteria yang dinilai adalah berdasarkan minat pelajar yang mendalam, kelancaran bacaan, tajwid dan kemampuan pelajar menghafaz al-Quran dengan baik.

Waktu pembelajaran kelas al-Jazari bermula jam 7.40 pagi hingga 2.15 petang setiap hari Isnin hingga Jumaat, sama seperti kelas-kelas lain. Kemudian diikuti dengan kelas malam bermula jam 8.00 malam hingga 9.30 malam setiap hari.

Dua waktu pertama sesi pagi dikhususkan untuk pelajar membaca hafazan (tasmi’) di hadapan guru hafiz. Setiap pelajar dikehendaki menghafaz sekurang-kurangnya setengah muka surat setiap hari atau 2 muka surat seminggu. Hari Isnin dikecualikan bagi memberi ruang kepada perhimpunan sekolah.

Kelas malam pula diadakan untuk membantu para pelajar mengulang hafazan (murajaah) bersama guru atau rakan sekelas dan menghafaz hafazan baru untuk ditasmi’ pada keesokan harinya.

Selain itu, kelas pengukuhan al-Quran juga diadakan bagi membantu para pelajar melancarkan bacaan dan memperkukuh aplikasi tajwid dalam bacaan al-Quran. Kelas ini diadakan secara berkala bergantung kepada keperluan semasa. Masa yang diperuntukkan bermula jam 7.30 hingga 9.00 pagi hari Sabtu dan Ahad.

Bagi melancarkan perjalanan sesi pembelajaran kelas al-Jazari, para pelajar yang terpilih digalakkan tinggal di asrama. Berikut adalah jadual pembelajaran kelas al-Jazari :-

Hari

Sesi pagi

Sesi pagi

Sesi Malam

Isnin

7.40 -8.15

Perhimpunan sekolah

8.15 – 2.15

Waktu persekolahan

8.00 – 9.00

Murajaah, Talaqqi, Hafazan

Selasa

7.40 – 8.50

Tasmi’

8.50 – 2.15

Waktu persekolahan

8.00 – 9.00

Murajaah, Talaqqi, Hafazan

Rabu

7.40 – 8.50

Tasmi’

8.50 – 2.15

Waktu persekolahan

8.00 – 9.00

Murajaah, Talaqqi, Hafazan

Khamis

7.40 – 8.50

Tasmi’

8.50 – 2.15

Waktu persekolahan

8.00 – 9.00

Murajaah, Talaqqi, Hafazan

Jumaat

7.40 – 8.50

Tasmi’

8.50 – 2.15

Waktu persekolahan

8.00 – 9.00

Murajaah, Talaqqi, Hafazan

Sabtu

7.40 – 8.50*

Kelas pengukuhan

Aktiviti asrama

8.00 – 9.00

Murajaah, Talaqqi, Hafazan

Ahad

7.40 – 8.50*

Kelas pengukuhan

Aktiviti asrama

8.00 – 9.00

Murajaah, Talaqqi, Hafazan

*bergantung kepada keperluan semasa Talaqqi : membetulkan bacaan di hadapan guru hafiz.

Semoga dengan penubuhan kelas al-Jazari ini membuka peluang kepada para pelajar untuk menghafal al-Quran dengan lebih bersistematik dan mampu melahirkan generasi huffaz rabbani serta mendapat bimbingan dan keredhaan Allah s.w.t.

Sesi ulangkaji di waktu malam, selepas solat Maghrib

Ustazah Hairul Azimah, salah seorang tenaga penggerak kelas ini.


Suasana dalam kelas di waktu rehat. Mereka masih tekun menghafal dan mengulangkaji.

Sunday, January 17, 2010

Nisa' diseru tingkat peranan sebar dakwah

Oleh : Hazayani Zakaria

Seluruh ahli kelab remaja Nisa' Malaysia diseru agar membentuk pasukan kerja yang mantap bagi meningkatkan usaha menyebar luas dakwah kepada generasi muda melalui pendekatan kontemporari, sesuai dengan suasana semasa.

Pengarahnya, Dr. Rosni Adam berkata, Nisa' yang sudah mula dikenali pelbagai pihak melalui program-program berbentuk kemasyarakatan yang diadakan harus mengambil peluang yang ada untuk terus mendekati golongan sasar iaitu remaja dan belia wanita.

"Kini Nisa' Malaysia telah pun bergerak ke fasa empowerment bagi mempergiatkan usaha dakwah Islam melalui pendekatan kontemporari.

"Dalam fasa ini pembentukan pasukan kerja yang mantap perlu ditekankan mmandangkan kewajipan kita melebihi ruang waktu yang kita miliki.

"Saya menyeru kepada seluruh ahli Nisa' agar mengambil peluang yang ada untuk merapatkan ukhuwah dan membina barisan yang kukuh dalam merencana dan menggerakkan agenda dakwah khususnya di Wilayah Persekutuan ini," katanya sewaktu berucap di Konvensyen Nisa' Wilayah Persekutuan (Nisa'WP) di Dewan Sri Alam, Anjung Rahmat, Gombak, dekat sini, baru-baru ini.

Beliau juga berkata,Nisa' sebelum ini telah berjaya melalui fasa 'rebranding' dengan mengadakan pelbagai program dan gerak kerja bagi mencapai misi kebajikan, kemanusaia dan kemasyarakatan.

"Usaha-usaha yang kita lakukan telah menampakkan hasil dan respon yang sangat positif daripada pelbagai pihak terutamanya golongan sasar iaitu anak-anak remaja," katanya lagi.

Sementara itu, Pengarah Nisa' Wilayah Persekutuan,Nor Hafiza Fadzil dalam ucapannya pula berharap agar ahli Nisa'WP dapat meningkatkan usaha mengajak golongan remaja dan belia menyertai Nisa' di samping berusaha meningkatkan kualiti ahli yang sedia ada.

"Saya berharap agar ahli Nisa' Wilayah persekutuan dapat menambahkan jumlah keahlian dan sentiasa berusaha menjaga kualiti ahli yang sedia ada supaya tahan dengan ujian dalam mendepani cabaran di ibu kota ini," katanya.

Kira-kira 200 remaja dan belia di sekitar ibu negara menghadiri konvensyen setengah hari anjuran Nisa' Wilayah Persekutuan yang dirasmikan oleh Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Salleh.

Bermatlamat mengumpulkan seluruh ahli Nisa' lama dan baru si sekitar Kuala Lumpur, konvensyen ini turut memberi pendedahan kepada peserta mengenai hala tuju dan matlamat yang ingin dicapai oleh Nisa' Wilayah Persekutuan dalam mendepani golongan remaja dan belia kota.

Dalam konvensyen itu juga, Nisa' Wilayah Persekutuan mencapai persetujuan untuk menjadikan tahun 2010 sebagai tahun agresif, iaitu menggandakan usaha untuk menambahkan keahlian dan mendekati golongan remaja yang memerlukan melalui program-program yang telah diatur.

Konvensyen tersebut turut diisi dengan forum bertajuk 'Bidadari Cemburu Padamu' yang dikupas oleh dua ahli panel iaitu Dr Rosni sendiri dan pensyarah serta pendakwah bebas, Ustazah Nurhafizah Musa.

Forum selama sejam itu menjurus kepada perbincangan mengenai ciri-ciri wanita yang ditetapkan Islam dan bagaimana untuk menjadi wanita yang seimbang dari semua aspek kehidupan.

Bersesuaian dengan moto Nisa' iaitu 'Penghubung Generasi Muda', Nisa'WP berharap agar dapat meneruskan misi mendekati golongan remaja yang terdiri dari pelbagai latar belakang.