Sunday, February 19, 2012

Menutup aurat bukan sekadar bertudung


Fenomena baharu sejak kebelakangan ini apabila ramai dari kalangan artis, selebriti mula memakai tudung selepas ‘puas’ berada dalam bentuk free hair. Gambar free hair mereka sebenarnya sudah terlalu banyak terpapar di internet.

Alhamdulillah, iman yang masih ada dalam diri masih menjerit-jerit secara halus meminta supaya mereka kembali kepada fitrah. Di antara fitrah itu ialah menutup aurat mereka terutama dari kalangan wanita. Ia bukan kongkongan tetapi bermaksud membimbing masyarakat menjadi baik.

Bagi mereka yang belum insaf, maka ambillah peluang lebih awal sebelum gambar-gambar free hair dan ‘berpakaian tapi bertelanjang’ mereka terpampang dengan banyaknya dalam internet.

Bagi mereka yang mula sedar dan insaf, kita ucapkan tahniah dan terus istiqamah dengan bertudung. Cuma satu perkara yang mesti difahami oleh semua ialah apabila seorang wanita Islam mula bertudung, maka ia sebenarnya baharu kembali kepada fitrah dan bukanlah bermakna ia sudah menjadi ‘malaikat’.

Menutup aurat sebenarnya mesti melihat pelbagai aspek-cara bertudung, jenis pakaian, cara berinteraksi, perangai lama yang masih ada, termasuk konsep tabarruj yang masih jauh dilaksanakan oleh ramai wanita Islam. Sekali lagi ingin saya tegaskan, semua hukum ini tidak bermaksud mengongkong wanita Islam tetapi ia adalah sebagai tanda iman, tanda tunduk kepada perintah Allah, tanda menundukkan nafsu di bawah kehendak Allah dan tanda wanita itu menjaga maruah dan harga dirinya.

Justeru, Kempen Setahun Menjaga Aurat Sepanjang Hayat yang dilancarkan oleh Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Persatuan Persaudaraan Muslimah Negeri Kedah (Salimah) dan Badan Gabungan NGO Islam Kedah (Wehdah) yang bermula sehari dua ini sangat-sangat dialukan. Kempen bertemakan “Menjaga Aurat, Hidup Berkat, Masyarakat Selamat” mesti disokong sepenuhnya oleh pelbagai agensi kerajaan dan swasta serta masyarakat seluruhnya.

Harakahdaily melaporkan Kempen Jaga Aurat Sepanjang Hayat akan menyebarkan maklumat dan kesedaran ke seluruh masyarakat Islam agar menghayati hikmah dan manfaat menjaga aurat dalam membina watak masyarakat Islam yang bermaruah, berakhlak dan berprinsip.

Kempen merangkumi pelbagai aktiviti seperti menyebar risalah dan poster, forum, ceramah penerangan, dialog, khutbah, penerangan di institusi pendidikan dan demonstrasi tatacara berpakaian dalam Islam, melibatkan seluruh institusi masjid sebanyak lebih 500 buah di negeri Kedah, memorandum khas mengenai kempen yang akan diserahkan kepada kerajaan negeri Kedah, jabatan dan agensi swasta untuk mendapatkan perakuan persetujuan dan sokongan terhadap etika menjaga aurat sebagai kod berpakaian pekerja.



Semua aktiviti dan kempen ini sangat baik dan kena pada tempatnya. Masyarakat bukan sahaja perlukan kepimpinan politik yang baik, bahkan suasana masyarakat yang hampir dan dekat dengan keredhaan Allah.

Sebelum kempen inipun, para wanita Islam sepatutnya mengingati hadis Nabi SAW, “Dua golongan dari kalangan ahli neraka, aku tidak akan memandang mereka di hari akhirat, iaitu lelaki yang bersama mereka cemeti sambil memukul-mukul manusia dan wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang, berjalan sambil menggoyangkan kepala dan badan, di atas kepala mereka seumpama bonggol unta”.

SUMBER ; http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/8203-menutup-aurat-bukan-sekadar-bertudung

Friday, February 03, 2012

Selamat menyambut Maulidur Rasul 1433H