Wednesday, April 22, 2009

RINTANGAN PERJUANGAN DALAM KEHIDUPAN PENDAKWAH

Menyentuh 5 jenis dugaan yang kerap menimpa seorang Muslim lebih-lebih lagi Da’ei yang beriman kepada Allah Subhanahu Wata’ala sebagai Tuhan, kepada Nabi Muhammad Sallallahu’alaihi Wasallam dan Al Qur’an; sebagai perlembagaan, serta ingin ‘committed’ dengan apa yang diyakininya. 5 jenis dugaan yang tersebut di dalam hadith Rasulullah Sallallahu’alaihi Wasallam itu ialah:

i) Orang Mukmin yang dengki kepadanya
ii) Orang Munafiq yang membencinya
iii) Orang kafir yang mahu memeranginya
iv) Syaitan yang hendak menyesatkannya
v) Nafsu yang sentiasa bertarung dengannya


RINTANGAN PERTAMA: ORANG MUKMIN YANG DENGKI KEPADANYA

Sebagaimana lumrah diketahui hasad adalah penyakit hati yang amat berbahaya. Hasad boleh mengikis Iman seseorang Mukmin jika ia tidak cepat kembali siuman, bertaubat kepada Tuhan dan tidak dilimpahi ‘Inayah dan Rahmat Subhanahu Wata’ala.

Para Du’at menyeru manusia ke jalan Allah Subhanahu Wata’ala, khasnya yang mendapat sambutan baik, yang cergas, yang masyhur dan berbakat sentiasa terdedah kepada cacian lidah orang-orang yang hasad serta tipu-daya mereka. Golongan tersebut merasa dengki pada ilmu dan kelebihan-kelebihan yang ada pada para du’at. Mereka sentiasa mengintai dan menunggu-nunggu masa yang baik untuk mencetuskan pertembungan antara mereka dan menjatuhkan imej mereka.

Ibnu Mu’taz pernah berkata: “Orang yang hasad itu marah kepada orang yang tidak berdosa, kikir terhadap sesuatu yang bukan kepunyaannya dan sentiasa mencari atau meminta sesuatu yang tidak akan diperolehinya.”

Sebenarnya orang-orang yang dengkikan kelebihan, kebolehan dan ilmu yang dianugerahkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala kepada para Du’at mempunyai jiwa yang berpenyakit, hati yang berkarat. Mereka sanggup membuat tipu-daya terhadap saudara mereka sendiri demi melepaskan kemarahan dan sentimen yang meluap dalam dada mereka. Sikap inilah yang pernah mendorong Qabil membunuh saudara kandungnya Habil.

Perasaan dengki, marah dan dendam yang meluap-luap inilah yang mendorong berlakunya kejahatan tersebut.

Babak-babak dakwah Islam yang dilalui sepanjang sejarah zaman dahulu dan kini banyak memperlihatkan peristiwa-peristiwa tragis di mana penyebab utamanya ialah sifat hasad dengki. Bukan sifat dengki dan orang jauh tetapi yang datang dan kalangan sahabat handai sendiri.

Sekian banyak tuduhan tuduhan palsu dicipta untuk mengobarkan kebencian dan permusuhan yang didorong oleh perasaan dengki dan khianat. Banyak jamaah yang berpecahbelah kerana angkara manusia pendengki yang busuk hati; membawa fitnah ke sana ke mari tanpa rasa takut kepada Allah Subhanahu Wata’ala, — Tuhan alam semesta; tanpa mengambil pusing akan peringatan Rasulullah Sallallahu’alaihi Wasallam. Beliau bersabda mengingatkan:

ليس مني ذو حسد ولا غميمة ولا آهانة ولا أنامنه

“Orang yang berhati dengki, yang menjadi batu api, beramal dengan yang karut-marut bukan daripada umatku dan aku bukan ikutan mereka.”

Kemudian baginda membaca firman Allah Subhanahu Wata’ala yang berbunyi:

وَالَّذِینَ یُؤْذُونَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ بِغَيْرِ مَا اآْتَسَبُوا فَقَدِ احْتَمَلُوا بُهْتَانًا وَإِثْمًا مُّبِينًا

“Orang-orang yang menyakiti para Mu‘min lelaki dan perempuan (dengan membuat fitnah) padahal mereka (orang-orang yang beriman tersebut) tidak berdosa maka sesungguhnya pembawa fitnah tersebut telah memikul beban pendustaan dan dosa yang nyata.” (Surah Al-Ahzab: Ayat 58)

Bencana hasad dengki ini apabila telah berkobar boleh mendorong orang yang berkenaan melakukan berbagai-bagai kebodohan, boleh melakukan apa saja keburukan dan hal-hal yang dilarang; persis seperti api apabila ia berkobar marak; ia membakar daun-daun yang kening dan basah tanpa kecuali.
Manusia yang hasad sewaktu-waktu boleh berdusta mencipta kebohongan dan fitnah untuk merugikan manusia lain yang menjadi lawannya. Alangkah baiknya, kalau sebelum ia berbuat demikian ia menginsafi bencananya. Alangkah baiknya, jika ia mendengar Hadith RasulullahSallallahu’alaihi Wasallam yang menyelar orang-orang sepertinya.
Orang yang dengki itu mungkin akan mengumpat dan menjadi batu api padahal ia menyangka ia telah berbuat baik, syaitan pula mengajukan alasanalasan kepadanya untuk membenarkan perbuatan buruk tersebut supaya dia terus terjebak di dalam fitnah.
Sejarah telah membuktikan. Sememangnya ada golongan seperti ini. Ntah apa yang mereka mahukan. Tahniah buat semua para juru dakwah, di atas kesabaran yang ada dalam diri, pastinya Allah akan beri ganjaran yang terbaik walaupun para daie itu terpaksa mnegalirkan air mata kerana perit menerima bahan fitnah dan khianat yang dilakukan oleh manusia yang tidak berhatii perut. Manakan tidak pahit kerana manusia khianat itu kadang2 datang dari dalam selimut sendiri..... Allah, ampunkan dosaku......tabahkan hatiku.....menghadapi ujian yang berat ini....hanya padaMU ya Allah tempat aku mengadu,.....

Juga muhasabah buat buat ahli2 jemaah, dan sape2 jer,... kita muhasabah diri,..kita pastikan supaya diri kita tidak tergolongan di kalangan orang " ORANG MUKMIN YANG DENGKI KEPADANYA ".

Tuesday, March 24, 2009

Jatidiri Muslimah

MUQADDIMAH

Dunia terus bergerak ke depan meninggalkan coretan-coretan kenangan pahit manis di dalam sejarah manusia. Melangkah ke abad 21 menyaksikan bagaimana Islam seolah-olah menjadi musuh utama kepada manusia. Keganasan, penindasan, ketidakadilan sosial, diktator dan pelbagai lagi isitilah-istilah yang kurang enak dikaitkan dengan Islam. Dalam masa yang sama, kelompok-kelompok yang menyintai sistem Islam mula diterima di tempat masing-masing. Kebangkitan kelompok pro-Islam di Turki dan Pakistan pada tahun 2002 adalah implikasi tidak langsung kepada tuduhan melulu yang dilemparkan oleh musuh-musuh terhadap Islam ekoran peristiwa 11 September 2001. Justeru, jurang di antara masyarakat dunia semakin melebar. Satu kelompok semakin memusuhi Islam dan satu kelompok semakin menunjukkan sokongan kepada Islam. Di Palestin, semangat kecintaan kepada Islam dan syahid sudah mewarnai gelombang cita-cita anak-anak muda. Kita sudah tidak terkejut apabila mendengar gadis-gadis muslimah meletupkan diri semata-mata kerana jihad. Di tengah-tengah pertembungan yang semakin sengit ini, apakah jatidiri muslimah yang sebenar yang ingin kita bentuk di dalam anak-anak gadis kita hari ini?



GENERASI MUSLIMAH YANG KITA IMPIKAN

Muslimah sama sekali tidak boleh memisahkan diri dari gerakan dakwah. Tidak ada sebarang alasan yang munasabah untuk membiarkan muslimah terceruk di dapur berkawan dengan periuk dan kuali manakala di luar sana anak-anak gadis kita dimurtadkan dan diseret ke lembah kehinaan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Kita tidak mahu para ustazah yang bertudung labuh hanya memandang medan perjuangan ialah di samping keluarga (dan suami tentunya) lantas mengenepikan persoalan ummah yang kian meruncing. Muslimah seharusnya mempunyai cita-cita untuk menjadi seorang da’iah. Di dalam Al-Quran, tugas amr makruf dan nahi munkar turut melibatkan muslimah apabila Allah SWT bersabda (yang bermaksud) :

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Surah At-Taubah, ayat 71)

Generasi muslimah yang kita cita-citakan ialah generasi yang rela untuk turut membawa obor perjuangan bersama-sama kaum muslimin. Mereka seharusnya mempunyai ciri-ciri yang berikut :

1. Ilmu dan thaqofah yang bertenaga dan mantap untuk berdepan dengan permasalahan masyarakat. Kita tidak ingin lahirnya generasi yang hanya pandai bercakap dan menjadi pak turut namun kelu apabila berbicara tentang permasalahan yang berkaitan dengan agama. Seorang muslimah sejati yang bercita-cita untuk muncul sebagai da’iah seharusnya menguasai pelbagai cabang ilmu khususnya permasalahan fiqh yang membabitkan golongan wanita. Kekurangan yang dihadapi oleh umat Islam ialah kurangnya pakar-pakar di dalam ilmu-ilmu yang tertentu mengakibatkan pergantungan yang ketara kepada orang lain yang bukan Islam.

2. Kefahaman yang jitu mengenai selok belok perjuangan dan harakah islamiyyah. Generasi muslimah yang ideal ialah generasi yang dibentuk oleh pentarbiyahan yang berkesan dan melalui marhalah-marhalah tarbiyyah yang telah disusun secara khusus. Marhalah-marhalah ta’rif, takwin dan tanfiz perlu dilalui oleh setiap jundiyy yang ingin berbakti kepada Islam. Bagaimanapun, proses ini bukanlah sesuatu yang mutlak di dalam melahirkan kader-kader pejuang memandangkan ia adalah satu teori yang baru muncul di abad yang lalu. Namun, teori ini dianggap paling sempurna di dalam melahirkan muslimah yang benar-benar mengetahui apakah tuntutan sebenar mereka di dalam harakah islamiyyah yang akan diceburi. Bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa ramai yang telah melalui proses pentarbiyahan akhirnya layu di medan perjuangan yang sebenar.

3. Bersyakhsiyyah dan Berakhlak yang mampu menarik minat dan kecenderungan orang lain kepada dakwah. Seorang muslimah adalah umpama bunga yang berkembang mekar. Keindahan bunga tidak mungkin akan lengkap seandainya baunya tidak enak untuk dihidu. Akhlak itulah umpama bau bagi sekuntum bunga. Di tengah-tengah kebejatan sosial yang melanda umat remaja hari ini, alangkah baiknya jikalau muncul generasi muslimah yang benar-benar iltizam dengan syakhsiyyah islamiyyah. Bertudung labuh dan berjubah menjadi uniform bagi generasi muslimah yang ideal.

4. Semangat dan Istiqomah yang bersemarak di dalam jiwa generasi pejuang perlu dibentuk agar setiap usaha yang dilakukan tidak layu di pertengahan jalan. Sesungguhnya sudah ramai sebelum kita yang mempunyai bakat yang hebat dan ilmu yang mantap namun akhirnya gugur di pertengahan jalan. Golongan mutasaqitun seperti ini terlalu ramai, malah kita sendiri pun tidak boleh mendabik dada mendakwa bahawa kita pasti akan selamat. Jalan yang terbaik ialah sentiasa memanjatkan doa kepada Allah SWT agar ditetapkan iman kita selepas kita menerima hidayah (Ali-Imran, ayat 8)

5. Ikhlas di dalam apa jua gerak kerja perjuangan kerana inilah yang menjamin para muslimah untuk mendapat ganjaran di sisi Allah SWT.

KESIMPULAN

Apa yang dinyatakan di sini sekalipun secara ringkas namun ia rasanya sudah cukup untuk menjadi satu garis panduan secara umum untuk generasi remaja muslimah hari ini membentuk jatidiri diri. Sesungguhnya, perjuangan ini pastinya akan mendapat kejayaan, sekalipun tidak di dunia namun di akhirat. Jadikanlah lafaz dan ikrar yang sering dikumandangkan melalui doa iftitah di dalam solat sebagai satu kenyataan di dalam hidup. Sesungguhnya perjuangan ertinya menjala susah, meratah gundah, merelakan pengorbanan dan menanggung penderitaan. Tabahlah dan bertindaklah secara matang dalam mengharungi kepayahan, biarlah Allah menentukan hasilnya.