Sunday, September 11, 2011

Perkongsian: Berpurdah untuk menjaga kehormatan

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Sebagai seorang muslimah yang berpurdah, berkongsi cerita yang positif tentang purdah adalah satu perkara yang sangat baik. Mana tahu, perkongsian ini akan turut membuka pintu hati di kalangan pembaca untuk sama-sama meningkatkan iman diri dan amalan. Kita semua manusia lemah, tapi peluang untuk menjadi manusia yang soleh/ah masih ada. InsyaAllah.

Baiklah, inilah artikelnya yang disusun oleh Siti Ainiza Kamsari.

Gambar sekadar hiasan.


PARA PENONTON yang mengikuti siaran langsung saluran Channel 4 yang popular di England, begitu terkejut dengan penampilan seorang wanita berpurdah di kaca televisyen pada sambutan Hari Krismas tahun lalu.

Ia berlaku sejurus Ratu Elizabeth II menyampaikan ucapan sempena Hari Krismas. Tidak berselang lama selepas itu, wanita yang hanya menampakkan sepasang mata ini, muncul.

Tujuannya untuk memberi wanita itu peluang menyampaikan pesanan melalui apa yang dipanggil sebagai Pesanan Alternatif Krismas. Iaitu pesanan yang cukup berbeza berbanding ucapan oleh baginda Ratu England.

Kemunculannya menyebabkan penonton terpaku. Masing-masing tertanya-tanya, wajah siapakah di sebalik purdah itu. Yang pasti wanita itu sudah tentu seorang Islam.
Daripada suaranya para penonton dapat mengenal pasti bahawa wanita tersebut adalah rakyat British atau dengan lain perkataan dia adalah wanita berkulit putih seperti sebahagian besar penonton itu yang sedang menonton program itu.

Ini kerana loghat Inggerisnya agak pekat dan asli sebagaimana warga England yang lain juga.

Penampilannya dalam program yang dihos oleh Jack Straw itu dikatakan sebagai peluang yang diberi oleh saluran televisyen itu bagi memperbetulkan banyak salah tanggapan mengenai Islam, terutamanya apabila wanita Islam memilih untuk berpurdah.

Lalu wanita yang hanya memperkenalkan dirinya sebagai Khadijah itu terus mengambil peluang itu dengan mengkritik mereka yang berpandangan salah mengenai purdah termasuk ada yang menyebutnya sebagai jilbab, burqa dan niqab.

“Purdah ini sebenarnya perisai bagi kaum wanita. Tidak sekadar soal identiti tetapi lebih kepada soal perlindungan daripada segala macam ancaman dan menghalang si pemakai itu mendekati perkara-perkara yang boleh memudaratkan diri mereka sendiri,” ujar Khadijah.

Beliau menguatkan lagi hujahnya bersandarkan dalil al-Quran yang bermaksud: Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka…. (an-Nur: 31)

Sehingga ke akhir rancangan, para penonton ditinggalkan dalam keadaan penuh tanda tanya, siapa gerangan di sebalik purdah itu.

Sehinggalah akhbar Daily Mail akhirnya berjaya menemui dan membuat pendedahan mengenai, siapa Khadijah.

Wanita yang patuh berpurdah itu adalah Elaine Atkinson, 43, iaitu seorang warga Britain sebelum menukarkannya kepada Khadijah Iqbal selepas memeluk Islam pada tahun 1996.

Beliau setuju muncul di kaca televisyen apabila pihak stesen menghormati permintaannya untuk muncul dengan identitinya yang berpurdah.

“Itu sudah cukup bagi membolehkan para penonton fokus pada kata-kata saya, bukannya keperibadian saya,” kata Khadijah.

Sejurus beliau berpurdah maka Khadijah mengaku ramai yang menuduhnya masuk ke dalam kelompok Islam radikal.

Namun beliau menafikan, kerana purdah tidak bermakna menjadi lambang sesuatu yang radikal. Beliau sendiri seorang yang berfikiran sederhana dalam serba serbi.

“Saya memilih berpurdah dengan penuh kesedaran. Ia semata-mata untuk melindungi diri kerana dengan wajah yang separa bertutup ini ia sebenarnya satu lambang kebebasan kepada seseorang wanita itu untuk mempertahankan haknya yang paling utama, soal keselamatan,” jelasnya.

Menurut Khadijah, Islam membuatkannya mempunyai panduan yang jelas untuk diikuti dan dipatuhi dalam hidup.

“Tidak sahaja dalam soal jaminan keselamatan dengan menutup aurat, bahkan dalam apa juga aspek.

“Selagi tidak memeluk Islam, seseorang itu tidak ubahnya seperti tikus atau hamster yang hanya tahu berputar-putar pada roda mainan yang diletakkan dalam sangkar mereka, tanpa arah tujuan,” katanya.
Semoga kita semua mendapat manfaat dari perkongsian ini.

Saturday, July 30, 2011

Selamat Datang bulan yang di tunggu-tunggu!


“Ramadhan bakal datang menjelang
Kaum muslimin semuanya senang
Suasana pun bisa jadi tenang
Kerana ianya bulan kemenangan"

Ramadhan adalah bulan yang penuh berkat, rahmat, dan ampunan. Melakukan kebajikan pada bulan Ramadhan, akan di ganjarkan oleh Allah dengan sejumlah ganjaran. Secara tepatnya, pahalanya jadi berkali lipat.

SAMBUTLAH DENGAN RASA SYUKUR

Rasulullah SAW telah menegaskan dalam satu hadisnya yang bermaksud :- Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Ramadan, bulan yang penuh dengan keberkatan. Di mana Allah mewajibkan kepada kamu berpuasa, kerana pada bulan Ramadan dibukakan semua pintu syurga, dikuncikan pintu-pintu neraka dan di belenggukan syaitan, dan juga terdapat suatu malam yang terlebih baik daripada seribu bulan, barang siapa terlepas daripada mendapat kebajikan pada malam ini, bererti tertegahlah kepada segala bentuk kebaikan.”

Yang menghairankan bagaimana kejadian buruk masih lagi berlaku, sedangkan di bulan Ramadan segala syaitan dan kuncu-kuncunya telah dirantai dan dibelenggu, umpat mengumpat misalnya menjadi bualan mulut, kata-kata dan kata-kata kesat masih meniti di bibir-bibir mulut, malah yang mengaibkan lagi ada juga sebahagiannya yang sanggup melakukan perkara-perkara yang mencemarkan imej Islam.

MATLAMAT


Keadaan ini terjadi kerana matlamat puasa kita itu belum lagi mencapai tahap yang dikehendaki iaitu tahap sebagai benteng pertahanan jiwa. Seandainya jiwa belum lagi terbentuk sebagai benteng yang kukuh senanglah nafsu syahwat yang sedia ada dalam jiwa mengajak ke arah keburukan.

Ibadat puasa mempunyai hikmah dan rahsia-rahsia sama ada dari segi rohaniah, jasmaniah dan kemasyarakatan. Dari segi kerohanian ia boleh menundukkan nafsu jahat yakni naluri atau perasaan yang mendorongkan kepada kejahatan. Ibadat ini bukan sahaja terdapat di dalam syariat Islamiah, malahan di dalam syariat-syariat lain juga ada memfardukan ibadat puasa miskipun keyakinan jiwanya berlainan.

Hikmah puasa dari sudut rohani juga boleh menguatkan keperibadian, meluhurkan kesusilaan dan membersihkan jiwa insan. Puasa juga sebagai latihan rohaniah yang mana setiap yang berpuasa wajib menahan diri daripada nafsu makan minum, nafsu kejantinaan dan mengawal moral yang rendah dan menyakitkan orang lain seperti mencela, caci maki, mengumpat, bercakap kotor dan mengikut keinginan nafsu. Untuk membentuk keperibadian yang mulia seorang pengarang Jerman, James Brooke menulis sebuah buku yang mana di dalam tulisannya beliau memuji hikmah berpuasa, katanya, “Untuk menguatkan perasaan dan jiwa hendaklah jadikan puasa ini sebagai pokok atau dasar hidup, kerana ia paling berkesan untuk mengawal pengaruh rohaniah keinginan jasmaniah. Jesteru itu manusia boleh menguasai dirinya sendiri agar tidak menjadi hamba kepada naluri kebendaan.” Puasa dari sudut kesihatan dan rawatan penyakit. Ibadat puasa merupakan sebahagian daripada cara-cara yang paling berkesan menjaga kesihatan bertepatan dengan kata-kata seorang ilmuan yang bermaksud: “Maidah” atau perut besar merupakan sarang penyakit dan berpantang itu pokok kepada segala ubat.

Imam al-Ghazali juga memberi penjelasan iaitu: “Perut besar seseorang yang kenyang, maka tidur nyenyaklah akal fikiran dan kaku bekulah kecerdasan dan kebijaksanaan. Akhirnya malas dan lesu seluruh anggota badan daripada menunaikan ibadat. Penjelasan dari Imam al-Ghazali itu dapat kita fahami bahawa kekosongan perut orang yang berpuasa bukanlah merupakan satu azab atau penderitaan kepada mereka sebaliknya ia merupakan satu langkah untuk memperolehi kecergasan rohani dan kesegaran jasmani kerana akal fikiran ketika berpuasa sedang membangun.

Ada orang beranggapan puasa boleh menjejaskan kesihatan. Dalam konteks ini memang kumpulan kecil yang perlu dikenal pasti supaya dapat nasihat daripada doktor berhubung dengan berpuasa. Ada penyakit seandainya seseorang itu berpuasa boleh menjanjikan kesihatan dan Allah SWT telah memberi rukhsah atau kelonggaran kepada mereka yang uzur supaya tidak berpuasa. Kalau dilihat Allah SWT pencipta manusia dan alam lebih mengetahui akan perkara yang paling baik untuk kejadiannya dan sudah termaktub di dalam Al-Quran akan kelonggaran tersebut.




Selamat menyambut Bulan Ramadhan buat semua !

Ramadan akan menjelma lagi, musim ibadah yang menjanjikan rahmat dan keberkatan kepada orang yang berpuasa. Setiap detiknya mengandungi keampunan dan keberkatan. Kedatangannya dinanti oleh orang yang bertaqwa.