Tuesday, November 25, 2008

Peranan Muslimah Dalam Gerakan Islamiah (Siri Akhir)

MUSLIMAH SEBAGAI PEMIMPIN DALAM JIHAD

Jihad dalam erti kata yang ringkas ialah ‘perjuangan untuk mempertahankan kemurnian Islam sama ada pada diri sendiri, masyarakat dan negara.’ Pada zaman awal Islam, kaum muslimat terlibat di dalam berbagai-bagai bidang jihad. Contohnya dalam menguruskan rumahtangga sedang suami-suami mereka sibuk digelanggang jihad, maka di kala itu mereka melakukan kerja-kerja rumah dengan tangan-tangan mereka sendiri. puteri Rasullah s.a.w, Fatmah Az-Zahrah melakukan kerja rumah beliau tanpa pertolongan sesiapa, sehinggalah beliau terasa terlalu penat dan tangannya menjadi kasar. Saiyidina Ali meminta Fatimah memberitahu bapanya, Nabi Muhammad s.a.w agar dapat menyediakan seorang pembantu rumahtangga kepadanya.


Apabila beliau mengadu, Rasulullah s.a.w menasihatkan Fatimah r.ha supaya menyebut Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahu Akbar sepuluh kali setiap selepas solat dan Allah s.w.t akan memberikan kekuatan kepadanya menyelesaikan tugas-tugas rumahtangganya. Beliau berpuas hati dengan nasihat bapanya dan tidak pernah mengadi lagi selepas itu.


Pernah pada suatu hari ketika Rasulullah s.a.w mengunjungi puteri kesayangannya itu, baginda mendapati Fatimah memakai pakaian kasar yang diperbuat daripada bulu unta dan sedang mengisar gandum. Rasulullah s.a.w bersabda kepada puterinya:


“Jika (kamu) berkehendakkan ganjaran yang baik di akhirat kelak, Fatimah harus melalui kepahitan hidup di dunia”


Dalam menghadapi situasi penyelewengan terhadap penghayatan Islam kini, jihad menerusi keilmuan adalah sangat penting. Ini kerana peranan muslimat untuk menimba ilmu dan menyebarkannya kepada orang lain adalah sangat-sangat diharapkan bahkan mereka mampu berbuat demikian secara pro-aktif. Ini memandangkan sikap dan kegemaran kaum wanita yang suka berbual dan membincangkan permasalahan masyarakat sesama mereka. Maka potensi ini hendaklah dieksploitasi sebaik mungkin.


Kaum wanita juga memainkan peranan penting dalam menyebarkan ilmu Islam kepada manusia seluruhnya kerana mereka adalah guru pertama kepada anak-anak mereka maka mereka hendaklah memahami bahawa peranan ilmu yang yang disampaikan itu juga bermatlamat menegakkan syariat Allah di atas muka bumi ini. Tegasnya, peranan muslimah dengan lelaki dalam konteks untuk memantapkan jiwa, aqidah dan akhlak serta memperbetulkan masyarakat dari segala penyelewengan yang berlaku. Jelasnya, peranan mereka ialah berusaha untuk memperbetulkan manusia dengan memimpim mereka kearah kesempurnaan dan ketaatan mutlak kepada Allah s.w.t.


Disamping berjihad dalam bidang rumahtangga dan bidang keilmuan, wania Islam juga perlu melibatkan diri di dalam gerakan jihad menghadapi musuh-musuh Islam sebagaimana keberanian Ummu Abdullah berhadapan dengan Umar bin Al-Khattab sebelum beliau memeluk Islam. Ini merupakan contoh yang terus menjadi teladan kepada wanita Islam.


Muslimah juga seharusnya memahami dan sedar tentang kepentingan untuk menjaga strategi, kerahsiaan dan melindungi harakah. Muslimat mesti meyakini matlamat dan arah perjuangan yang mereka dokongi. Mereka jangan sekali-sekali mudah ditarik oleh anasir-anasir yang menyebabkan mereka lari daripada perjuangan yang diikuti selama ini.


PENYESUAIAN DIRI DALAM MASYARAKAT.


Sebahagian daripada wanita Islam kini mendapat pendidikan tinggi sehingga memiliki ijazah, pekerjaan dan pangkat yang baik, lalu tidak lagi memainkan peranan yang serius dalam kebangkitan semula Islam. Jika Islam terpaksa berhadapan dengan orang-orang yang jahil dan degil di dalam masyarakat jahiliyyah di masa dahulu, hari ini Islam terpaksa pula menghadapi cendekiawan barat termasuklah para orentalis yang mengkaji Islam dan berusaha untuk mengelirukan masyarakat tentang Islam. Umpamanya mereka pernah mempertikaikan sekiranya terlaksananya dasar pemerintahan Islam dalam sesebuah negara, maka kaum wanita tidak bebas bergerak dan mereka akan diletakkan sebagai masyarakat kelas dua.


Pergaulan yang bebas lelaki perempuan adalah perkara yang lumrah di mana-mana. Malangnya hanya segelintir sahaja orang Islam yang bimbang akan permasalahan ini. Di pejabat-pejabat, gadis-gadis jelita diletakkan sebagai penyambut tetamu. Di pusat-pusat rekreasi, kita dapati pemuda-pemudi Islam tanpa segan silu lagi bermadu kasih. Kedai-kedai fesyen pakaian atau ‘boutique’ menyediakan berbagai-bagai fesyen pakaian yang mendedahkan aurat untuk kaum wanita, wanita-wanita dijadikan sebagai bahan-bahan pengiklanan di tepi-tepi jalan dan sebagainya.


Dalam dunia yang penuh dengan cabaran ini, ramai kaum wanita sama ada yang berpelajaran atau buta huruf telah meninggalkan rumah untuk bekerja di pejabat, kilang atau ladang. Adakalanya sebahagian daripada mereka yang mempunyai anak tidak membuat keputusan wajar untuk meninggalkan anak-anak mereka kepada pengasuh yang benar-benar dapat memberikan pendidikan Islam dan membentuk syakhsiyyah Islamiyyah dalam diri anak-anak mereka.


Terdapat ibu-ibu bekerja atau yang melibatkan diri dengan terlalu banyak kegiatan-kegiatan di luar rumah mengabaikan langsung tanggungjawab sebagai isteri dan ibu di dalam rumahtangga. Rumahtangga diserahkan kepada pembantu rumah. Akhirnya berlakulah keributan dalam rumahtangga. Suami yang lebih banyak bergaul dengan gadis-gadis di pejabat daripada di rumah mula mencari helah untuk mencari pasangan baru, manakala anak-anak yang membesar tanpa kasih sayang akan melepaskan marahnya kepada masyarakat dengan menjadi golongan yang anti-sosial. Inilah pokok persoalan yang menjadi masalah kepada kita hari ini.


Satu hal yang perlu diambil kira oleh wanita Islam kini terutamanya yang terpaksa memikul dua tanggungjawab, iaitu tanggungjawab di tempat kerja dan tanggungjawab di rumah, mereka hendaklah memastikan kedua-dua tanggungjawab itu dilaksanakan sesempurna yang mungkin. Mereka perlu mendapat kerjasama dengan rakan di tempat kerja dan juga ahli keluarga. Misalnya di tempat kerja, ketua mereka perlu memahami bahawa kakitangan tersebut adalah seorang wanita yang mempunyai tugas di dalam rumahtangga. Begitu juga hali keluarga perlu memberi kerjasama, misalnya suami membantu isteri di dalam urusan rumahtangga.


Anak-anak perlu diberi kefahaman tentang tanggungjawab bersama di dalam rumahtangga. Hapuskan pegangan lama masyarakat yang menganggap tugas-tugas rumahtangga dipukul oleh isteri sahaja. padahal sirah Nabi Muhammad s.a.w telah membuktikan bahawa Rasulullah sendiri membantu isteri-isteri baginda di dalam urusan rumahtangga. Rasulullah pernah menampal sendiri kainnya yang koyak. Sebagai kesimpulannya, angkatan muslimah di dalam harakah Islamiyyah kini perlu diperkuatkan dengan perkara-perkara yang berikut:


1. Kefahaman Islam yang mendalam

2. Keikhlasan dan kejujuran

3. Pendidikan Ilmu dan harakah

4. Mengutamakan pendidikan keluarga dan rumahtangga mengikut Islam

5. Menanam semangat jihad


MENGORAK LANGKAH MEMIMPIN UMMAH
Mujahidah Islam

No comments: