"Wanita...kerananya lelaki menerobos tembok besi, gagah menjulang risalah Nabi.... Wanita...kerananya lelaki terjerumus ke lembah kibir firauni, melapah manusiawi..."
Said Nursi pernah menceritakan, betapa pentingnya seorang perempuan. Hinggakan dikhususkan sebuah risalah di dalam Rasail al-Nur bertajuk "Murshid al-Akhawaat". Penghargaan Nursi terhadap bondanya sangat tinggi. Bonda Nursi bernama Nurriyye.
Nursi menukilkan, segala ilmu dan kelebihan yang dimilikinya adalah berpunca daripada bazrah (benih) yang telah disemai oleh bondanya itu. Tanpa bondanya menyemai benih yang baik sejak kecil, mana mungkin hatinya cenderung untuk berada di lebuhraya yang terus menghala ke akhirat ini. Faktor primernya adalah asuhan dan didikan bondanya yang sungguh tinggi taqwa dan wara'nya. Guru-guru dan masyaikhnya pula bertanggungjawab menyuburkan benih hasil semaian bondanya itu. Tapak kukuh dibina oleh bondanya Nursi sendiri, tidak orang lain.
Semasa Nursi masih kecil, kelebihannya begitu terserlah di kalangan teman sebaya malah yang lebih besar dibanding Nursi. Kelebihan Nursi terserlah dari sudut kecerdasan dalam pelajaran, mahupun kekuatan fizikalnya. Gurunya pernah menziarahi keluarga Nursi untuk melihat faktor yang membentuk peribadi unik Nursi ini. Masya Allah...kawan-kawan nak tahu, bila ditanya pada Nurriyye bonda Nursi itu, apakah rahsia di sebalik kelebihan anak-anaknya itu? Nurriyye penuh tawadhuk menjelaskan, "saya tidak meninggalkan solat malam sejak dahulu, kecuali ketika uzur syar'ie...dan saya tidak akan menyusukan anak-anak tanpa ada wudhuk"
Tahulah gurunya...tidak mustahil ibu seperti ini, akan melahirkan anak seperti Nursi. Ketaqwaan dan kewara'an ayahanda Nursi juga tidak terkecuali. Ayahandanya yang dikenali sebagai Sufi Mirza tidak akan memberi makan keluarganya dari sebarang unsur syubahat. Hatta ternakannya dipastikan tidak memakan rumput-rumput milik orang lain, beliau akan mengikat mulut lembu-lembunya sehingga sampai di ladangnya sendiri baru dilepaskan. Ini semata-mata, memastikan hasil susu dan daging yang akan dijamu pada keluarganya tidak tercemar dengan harta orang lain. Masya Allah, Tabarakallah.
Sejak berusia, sembilan tahun, Nursi telah terpisah dari bondanya. Ketika mendengar berita bondanya telah kembali ke rahmatullah, menangislah Nursi yang ketika itu dalam buangan jauh sama sekali dari keluarga dan kampung halaman. Pemergian bondanya diumpakan seolah hilanglah separuh dari dunianya...Ya Baqi, Anta al-Baqi, Ya Baqi, Anta al-Baqi.. Hasbunallahhu wa ni'mal wakil, ni'mal mawla wa ni'man nasir.
Nursi sangat menghargai makhluk yang bergelar perempuan. Beliau mengingatkan makhluk yang begitu cantik kejadiannya ini supaya tidak sampai menjadi bidadari Jahannam. Lantaran tenggelam dalam arus dunia yang penuh tipu daya. Mempergunakan segala kelebihan kurniaan Allah untuk merosakkan lelaki dan membawa fitnah dahsyat di akhir zaman. Hati-hatilah wahai wanita...
Nursi mempertegaskan, wanita adalah hulubalang atau perwira kepada tajalli sifat Jamal Allah. Wanita adalah hero kepada sifat rahmah, ra'fah, hanan dan syafaqah. Sifat-sifat ini guna untuk mendidik keluarga, suami dan anak-anak. Bukan guna buat merosak lelaki. Bukan pula memburu persamaan hak. Lelaki dan perempuan punya tanggungjawab yang berbeza, sebab itu dikurnia fisiologi dan psikologi yang juga berbeza. Lelaki dan perempuan tidak pernah ada persaingan atau perlumbaan dalam dunia ini, kerana tidak akan ada sesiapa yang menang. Dua makhluk ini tidak perlu bersaing sama sekali, malah perlu lengkap melengkapkan. Allah menjadikan lelaki dan perempuan adalah untuk saling menyempurnakan. Masing-masing punya tugas dan tanggungjawab. Masing-masing punya taklif.
Petikan:
http://albazrah.blogspot.com/2006/05/perempuan-di-hati-nursi.html
Petikan:
http://albazrah.blogspot.com/2006/05/perempuan-di-hati-nursi.html
No comments:
Post a Comment