Seluruh ahli kelab remaja Nisa' Malaysia diseru agar membentuk pasukan kerja yang mantap bagi meningkatkan usaha menyebar luas dakwah kepada generasi muda melalui pendekatan kontemporari, sesuai dengan suasana semasa.
Pengarahnya, Dr. Rosni Adam berkata, Nisa' yang sudah mula dikenali pelbagai pihak melalui program-program berbentuk kemasyarakatan yang diadakan harus mengambil peluang yang ada untuk terus mendekati golongan sasar iaitu remaja dan belia wanita.
"Kini Nisa' Malaysia telah pun bergerak ke fasa empowerment bagi mempergiatkan usaha dakwah Islam melalui pendekatan kontemporari.
"Dalam fasa ini pembentukan pasukan kerja yang mantap perlu ditekankan mmandangkan kewajipan kita melebihi ruang waktu yang kita miliki.
"Saya menyeru kepada seluruh ahli Nisa' agar mengambil peluang yang ada untuk merapatkan ukhuwah dan membina barisan yang kukuh dalam merencana dan menggerakkan agenda dakwah khususnya di Wilayah Persekutuan ini," katanya sewaktu berucap di Konvensyen Nisa' Wilayah Persekutuan (Nisa'WP) di Dewan Sri Alam, Anjung Rahmat, Gombak, dekat sini, baru-baru ini.
Beliau juga berkata,Nisa' sebelum ini telah berjaya melalui fasa 'rebranding' dengan mengadakan pelbagai program dan gerak kerja bagi mencapai misi kebajikan, kemanusaia dan kemasyarakatan.
"Usaha-usaha yang kita lakukan telah menampakkan hasil dan respon yang sangat positif daripada pelbagai pihak terutamanya golongan sasar iaitu anak-anak remaja," katanya lagi.
Sementara itu, Pengarah Nisa' Wilayah Persekutuan,Nor Hafiza Fadzil dalam ucapannya pula berharap agar ahli Nisa'WP dapat meningkatkan usaha mengajak golongan remaja dan belia menyertai Nisa' di samping berusaha meningkatkan kualiti ahli yang sedia ada.
"Saya berharap agar ahli Nisa' Wilayah persekutuan dapat menambahkan jumlah keahlian dan sentiasa berusaha menjaga kualiti ahli yang sedia ada supaya tahan dengan ujian dalam mendepani cabaran di ibu kota ini," katanya.
Kira-kira 200 remaja dan belia di sekitar ibu negara menghadiri konvensyen setengah hari anjuran Nisa' Wilayah Persekutuan yang dirasmikan oleh Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Salleh.
Bermatlamat mengumpulkan seluruh ahli Nisa' lama dan baru si sekitar Kuala Lumpur, konvensyen ini turut memberi pendedahan kepada peserta mengenai hala tuju dan matlamat yang ingin dicapai oleh Nisa' Wilayah Persekutuan dalam mendepani golongan remaja dan belia kota.
Dalam konvensyen itu juga, Nisa' Wilayah Persekutuan mencapai persetujuan untuk menjadikan tahun 2010 sebagai tahun agresif, iaitu menggandakan usaha untuk menambahkan keahlian dan mendekati golongan remaja yang memerlukan melalui program-program yang telah diatur.
Konvensyen tersebut turut diisi dengan forum bertajuk 'Bidadari Cemburu Padamu' yang dikupas oleh dua ahli panel iaitu Dr Rosni sendiri dan pensyarah serta pendakwah bebas, Ustazah Nurhafizah Musa.
Forum selama sejam itu menjurus kepada perbincangan mengenai ciri-ciri wanita yang ditetapkan Islam dan bagaimana untuk menjadi wanita yang seimbang dari semua aspek kehidupan.
Bersesuaian dengan moto Nisa' iaitu 'Penghubung Generasi Muda', Nisa'WP berharap agar dapat meneruskan misi mendekati golongan remaja yang terdiri dari pelbagai latar belakang. |
No comments:
Post a Comment