Wednesday, February 18, 2009

Aisyah R.A difitnah berlaku curang

SATU peristiwa penting yang pernah berlaku dalam sejarah Islam ialah peperangan Bani al-Mustaliq. Peristiwa itu berlaku pada Isnin, hari kedua Syaaban tahun ke-5 Hijrah.

Pada waktu itu, Nabi Muhammad saw bersama 700 tentera pejalan kaki dan 30 tentera berkuda menuju ke wilayah Bani al-Mustaliq.

Dalam riwayat Imam Muslim, dijelaskan serangan terhadap Bani al-Mustaliq dibuat tanpa amaran. Perkara itu kerana Rasulullah sudah menyampaikan dakwah Islam kepada mereka.

Bani itu dianggap berperang dengan orang Islam sejak membantu orang Quraisy Makkah dalam peperangan Uhud.

Mereka yang diserang secara mengejut, kebingungan dan tidak mampu melawan dalam tempoh masa yang agak lama.

Daripada peperangan ini, dicatatkan rampasan perang yang diperoleh ialah 1,000 unta dan 5,000 biri-biri. Kira-kira 200 orang ditawan dan ada pendapat yang menyatakan 700 orang.

Rasulullah dan sahabat kemudian pulang ke Madinah pada Ramadan selepas peperangan itu.

Dalam perjalanan pulang inilah, berlaku peristiwa yang menggoncang kerukunan rumah tangga Baginda berpunca daripada tindakan jahat yang dilakukan oleh golongan munafik pimpinan Abdullah Bin Ubai.

Isteri Rasulullah, iaitu Saidatina Aisyah, difitnah curang terhadap Baginda. Ini adalah peperangan psikologi yang begitu hebat melalui hasutan dan fitnah peristiwa al-ifk yang dipalsu dan diselewengkan oleh orang munafik.

Aisyah bersama Rasulullah dan tentera Islam menyertai peperangan Bani al-Mustaliq. Setiap kali Rasulullah keluar berperang, Baginda akan mengundi siapakah di kalangan isteri Baginda yang menyertai peperangan itu. Ketika itu, undian berpihak kepada Aisyah.

Dalam perjalanan pulang, ketika orang Islam semakin hampir dengan Madinah, tentera Islam singgah di kawasan perhentian. Pada kesempatan itu, Aisyah keluar untuk beristinjak dan tanpa disedari anting-antingnya jatuh ketika menuju kawasan perkhemahan.

Beliau menyedari kehilangan anting-antingnya itu dan kembali ke tempat beliau beristinjak untuk mencarinya. Selepas menjumpainya, beliau pulang semula ke tapak perkhemahan dan alangkah terkejutnya Aisyah kerana ketika itu, tentera Islam sudah meninggalkan tempat itu dan meneruskan perjalanan pulang ke Madinah.

Tinggallah beliau di tengah padang pasir sambil mengharapkan kafilah orang Islam berpatah balik mencarinya.

Selepas tentera Islam menyedari ketiadaan Aisyah, mereka berpatah semula untuk mendapatkannya. Pada masa sama, Aisyah ditemui sahabat Rasulullah bernama Safwan al-Mu'attal yang juga ketinggalan. Ada riwayat lain menyatakan beliau tertidur.

Safwan dan Aisyah memasuki kawasan Madinah pada waktu siang hari, selepas Baginda dan tentera Islam memasuki kota Madinah. Kedatangan kedua-duanya ke Madinah diperhatikan oleh penduduk kota itu, antaranya golongan munafik yang dipimpin Abdullah Ubai.

Dia mengambil kesempatan itu untuk menyebarkan fitnah bahawa Aisyah berlaku curang dengan Safwan. Abdullah Ubai juga mendorong Mistan Ibn Athathah, Hassan Ibn Thabit dan Hammah Jahsh untuk mempercayainya.

Rasulullah duka cita dengan propaganda yang dilakukan orang munafik.

Dalam masjid, Rasulullah mengisytiharkan Baginda mempercayai isteri dan sahabatnya.

Peristiwa ini memberi kesan mendalam ke atas diri dan keluarga Rasulullah kerana ada sahabat yang terpengaruh dengan fitnah yang tersebar luas di kota Madinah. Bahkan ada sahabat yang mencadangkan Rasulullah menceraikan Aisyah.

Selepas itu Aisyah sakit dan meminta izin Rasulullah untuk pulang ke rumah ayahandanya, Saidina Abu Bakar dan diizinkan Baginda.

Aisyah berdoa semoga Allah memberitahu rasul-Nya beliau masih suci dan tidak bersalah.

Wahyu tidak turun selama sebulan dan keadaan itu menyebabkan Baginda tidak dapat membuat sebarang keputusan atau fatwa.

Kesempatan itu diambil oleh golongan munafik untuk mencemarkan maruah dan menyakiti hati Baginda dengan pelbagai perkataan.

Pada saat itu, Rasulullah berharap turunnya wahyu bagi menenangkan hati dan menghentikan tohmahan orang munafik serta mempertahankan kesucian isteri dan keluarga Baginda.

Selepas menunggu hampir sebulan, akhirnya Allah menurunkan wahyu melalui firman-Nya dalam Surah an-Nur ayat 11 hingga 20 bagi menyatakan Aisyah tidak bersalah.

Rasulullah menjatuhkan hukuman hudud kepada Mistah, Hassan dan Hammah kerana fitnah yang dilakukan mereka. Namun, Rasulullah tidak menjatuhkan hukuman kepada Abdullah Ubai kerana Allah akan tetap menjatuhkan hukuman yang lebih berat kepadanya di akhirat.

Daripada peristiwa peperangan Bani al-Mustaliq dan peristiwa itu, beberapa undang-undang digubal, antaranya:


-Kebenaran menyerang tanpa memberi amaran seperti yang dilakukan kepada Bani al-Mustaliq yang sudah disampaikan dakwah kepada mereka.

-Jika ada yang belum menerima ajaran Islam, seseorang didakwahkan dan dipelawa menganut serta menerima dakwah Islam sebelum memerangi mereka.


-Kebenaran membuat undian antara isteri untuk seseorang bermusafir seperti undian yang dijalankan Rasulullah.


-Wanita turut dibenarkan terbabit dalam kempen ketenteraan bagi membantu tentera Islam, tetapi bukan sebagai anggota tentera peperangan.


-Pelaksanaan hukuman hudud kepada sesiapa yang melakukan fitnah tanpa mengemukakan empat orang saksi.


-Kebenaran menawan musuh sebagai tawanan perang. Peristiwa al-ifk jelas menunjukkan sifat kemanusiaan Rasulullah walaupun berdepan dengan saat memilukan dan menyedihkan.

-Pergantungan Baginda kepada Allah dan wahyu-Nya tetap utuh. Sesuatu tindakan tidak dilakukan secara melulu hingga Baginda merujuk kepada wahyu Allah.

Inilah yang sepatutnya yang dijadikan pengajaran kepada orang Islam supaya sentiasa menjadikan wahyu Allah sebagai rujukan terhadap sebarang permasalahan yang melanda dalam kehidupan.

*...dunia sekarang sedang berada dalam fitnah yang amat bermaharajalela...berita2 mudah di dapati dan cepat, sms, blog, emel dsb....apa kita mestilah menyelidiki setiap maklumat mahupun berita yang kita terima, bagi mengelakkan kita terlibat dengan fitnah dunia yang hanya menipu......Ya Allah selamatkanlah kami dari fitnah dunia yang menipu....

No comments: