Monday, February 23, 2009

Bicara Srikandi | Muslimah dan Kepimpinan

Rasululullah salallahualaihi wasalam bersabda;

كلكم راع وكلكم مسؤول عن رعيته

“Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu bertangungjawab terhadap apa yang dipimpinnya” daripada riwayat Bukhari dan Muslim. Menurut Kamus Dewan Bahasa, kepemimpinan ialah keupayaan, kebolehan, pencapaian pemimpin atau daya tindak-tanduk dan kecekapan seseorang pemimpin. Bila disebut pemimpin, mungkin tergambar di dalam fikiran kita seorang lelaki yang mempunyai ciri-ciri kepemimpinan, berucap di khalayak ramai, boleh mengarah orang bawahannya dan mempunyai daya intelek serta personaliti yang dapat menarik semua golongan, mampu membuat keputusan yang jelas dan tegas disamping dapat bertindak secepat mungkin, di mana kesesuaiannya hanya terletak kepada lelaki. Apakah perspektif kita bila diubah seorang wanita tetapi mempunyai ciri-ciri yang sama?

Mewujudkan bentuk kepimpinan merupakan tuntutan syarak. Secara umumnya, Islam telah memberikan hak yang sama rata antara lelaki dan wanita dalam pelbagai bidang kecuali beberapa perkara. Apabila ada pihak mempertikaikan kewibawaan Muslimah mengisi sosio-politik diri dan masyarakat, bersifat jumud, streotaip, beku dan sebagainya, pelbagai reaksi dapat dilihat terutama di kalangan Muslimah itu sendiri, sama ada menyokong atau menentang. Tidak dinafikan tugas seorang pemimpin memerlukan kesabaran, ketangkasan fizikal dan mental dan faktor-faktor lain yang ada pada lelaki, tetapi fitrah serta ketetapan Allah Taala mesti diambil kira dan diutamakan.

Sebenarnya memimpin yang ingin penulis tekankan ialah dalam bidang tertentu serta mengikut landasan syariat Allah Taala. Ini kerana bila melihat sejarah negara-negara yang dipimpin oleh wanita, seperti India-Puan Indera Ghandi, Ceylon-Puan Banderanaika, Pakistan-Puan Benazir Bhutto, Filipina-Puan Coranzo Aquino dan England-Margaret Teacher, telah menjadikan masyarakat dan negara mereka tidak stabil serta suasana politik terus bergolak. Sabda Rasulullah salallahualaihi wasalam bermaksud;

إذا وُسِّدَ الأمر إلى غير أهله فانتظر الساعة

“Apabila sesuatu urusan itu diserahkan kepada mereka yang bukan ahlinya (yang tidak layak), maka tunggulah berlakunya hari kiamat”.
Firman Allah Taala pula ;

الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاء بِمَا فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَى بَعْضٍ

“Kaum lelaki (muslimin) itu adalah pemimpin bagi kaum wanita (Muslimah), oleh kerana itu Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian lain (wanita)” - anNisa':34, al Quranul Karim.
Firman-Nya lagi ;


وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاء بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ

“Orang-orang mukmin lelaki dan orang-orang mukmin wanita setengah mereka menjadi penolong kepada setengah yang lain. Mereka menyuruh berbuat ma'ruf dan menegah daripada berbuat kemungkaran” - at Taubah:71, al Quranul Karim.

Bila diteliti kedua-dua ayat di atas, Muslimah tidak seharusnya merasa terasing untuk sama-sama berganding bahu dan berkompromi menjadi pembantu lelaki dalam satu kepimpinan sejajar dengan peranan dan mengikut kesesuaian sifat-sifat Muslimah itu sendiri.

Di samping itu, harus ada di kalangan masyarakat Muslimah berkumpulan yang memberikan contoh ke arah mengamalkan suruhan dan perintah Allah SWT seperti menutup aurat, meninggalkan pergaulan bebas dan sebagainya. Tugas ini bukan hanya terpundak kepada satu golongan, tetapi semua sama ada lelaki atau wanita.

Melihat beberapa sudut, sebenarnya Muslimah sudah terkehadapan. Ketrampilan dan keberanian bersuara dalam memberikan hujah harus dipuji. Malahan Muslimah alaf ini sudah mampu menguruskan soal kemasyarakatan, melaksanakan tugas-tugas pentadbiran, kebajikan, mengendalikan program-program dan sebagainya. Contoh teladan kepimpinan Muslimah yang sangat unggul abad silam seperti Ummul Mukminin, Saidatina Khadijah dan Saidatina Aisyah perlu dijadikan model Muslimah hari ini.

Perjuangan mereka bukanlah seperti yang dijulang wanita-wanita Barat, sibuk menjulang Hak Kebebasan Wanita, persamaan hak antara lelaki dan wanita-Women's Lib dan sebagainya. Kerana itulah kita harus sedar sesungguhnya kehancuran akhlak dan budi pekerti Muslimah akan menyebabkan rosaknya masyarakat Islam.

Serangan budaya mental barat yang meresap masuk dalam aliran pemikiran sesetengah umat Islam yang sangat merbahaya, terutama bagi jangka panjang survival umat Islam. Muslimah harus sedar, peranan kepimpinan mereka dalam dakwah amat diperlukan contohnya kemampuan untuk memperjelaskan Islam melalui tulisan, seminar, dialog dan tidak kurang juga dalam urusan pentadbiran organisasi. Kadangkala yang disangkakan kelemahan pada Muslimah itu sebenarnya satu kelebihan.

Lihatlah pokok-pokok yang besar dan gagah serta rerumput yang melata di bumi. Apabila hujan, pepohon yang besar adakalanya rebah jua tetapi rumput pula tidak terkesan apa-apa.
jangka panjang survival umat Islam. Muslimah harus sedar, peranan kepimpinan mereka dalam dakwah amat diperlukan contohnya kemampuan untuk memperjelaskan Islam melalui tulisan, seminar, dialog dan tidak kurang juga dalam urusan pentadbiran organisasi. Kadangkala yang disangkakan kelemahan pada Muslimah itu sebenarnya satu kelebihan. Lihatlah pokok-pokok yang besar dan gagah serta rerumput yang melata di bumi. Apabila hujan, pepohon yang besar adakalanya rebah jua tetapi rumput pula tidak terkesan apa-apa.

Konklusinya, Muslimah merupakan 'syiqaqul rijal' dalam sesebuah pembangunan. Sebahagian tugas mampu Muslimah memikulnya dan sebahagian lagi hanya lelaki yang berhak menggalasnya. Biarlah konfrontasi Muslimah tetap terserlah sejajar derapan Muslimah silam kerana kegagalan Muslimah dalam memikul tugas risalah samawi akan menyebabkan tempangnya generasi mendatang. Apa yang penting, Muslimah yang terjun ke medan kepimpinan perlulah memahami dengan jelas matlamat dan menepati Al-Quran dan Sunnah. Muslimah juga perlu bersedia dengan ilmu, kesabaran dan ketahanan iman serta istiqamah dalam melaksanakan tanggungjawabnya. Ingatlah, kelembutan Muslimah bukan penghalang untuk berjuang!

Oleh: Ustazah Shahidah Abdul Manaf

No comments: